Hampir 1,000 unit rumah mampu milik bakal dibina di penempatan baru Kampung Segedup, Sungai Maong

SABTU, 20 MAC 2021

KUCHING: Hampir 1,000 unit rumah mampu milik bakal dibina di kawasan penempatan baru yang akan dibuka di Kampung Segedup dan Sungai Maong di sini.

Menurut Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, dua tapak tanah telah dikenal pasti untuk dibangunkan penempatan baru tersebut.

Katanya, pembinaan penempatan baru itu akan bermula sebaik sahaja jalan yang sedang dibina menghubungkan Kampung Segedup dan Sungai Maong siap sepenuhnya nanti.

“Projek yang agak besar di Kampung Segedup dan Sungai Maong di mana kita sedang membina jalan raya yang akan menghubungi Sungai Maong menerusi satu jambatan yang juga akan menghubung Jalan Tan Sri Sulaiman Daud.

“Dengan adanya jalan ini, kita telah mengenal pasti dua tapak tanah untuk kita membangunkan penempatan di mana kita akan membangunkan rumah mampu milik dengan reka bentuk yang baru,” jelas beliau ketika ditemuramah selepas menyampaikan Geran MRP Ketua Menteri di Pusat Khidmat DUN N8 Satok pada Sabtu.

Terdahulu, Ketua Menteri memberitahu kawasan Satok sedang mengalami transformasi pesat dengan pelbagai projek infrastruktur yang sedang rancak dilaksanakan.

Katanya, antaranya projek yang sedang dilaksanakan adalah menaik taraf Jambatan Bintangor serta tebingan sungai yang diletakkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

“Ini antara projek-projek yang kita laksanakan di kawasan Satok. Mudah-mudahan ia dilaksanakan dengan baik dalam tempoh dua tiga tahun ini agar kawasan ini terus maju.

“Lebih-lebih lagi dekat muara Jalan Datuk (Ajibah Abol) akan menjadi pusat ART (Autonomous Rapid Transit) kita dan Hikmah Exchange juga tidak lama lagi akan siap,” katanya lagi.

Pada majlis itu, sebanyak lapan persatuan menerima geran MRP berkenaan berjumlah keseluruhan RM1.152 juta.

Hadir sama Timbalan Ketua Cawangan PBB Satok, Dato Ibrahim Baki dan Setiausaha Politik Ketua Menteri Sarawak, Abdul Samat Gany. – EDISI UKAS

Share

add comment