Manfaat Geran MRP Sebaiknya: ADUN Daro

SABTU, 20 MAC 2021

DARO: Seramai 15 penerima merangkumi beberapa JKKK Kampung, Jawatankuasa Surau, kelab dan persatuan di Daerah Daro menerima cek Projek Kecil Luar Bandar (MRP) ADUN Daro, Safiee Ahmad berjumlah keseluruhan RM81,000.

Penyampaian cek itu disempurnakan Safiee sendiri bertempat di Pusat Khidmat DUN Daro pada Jumaat.

Safiee dalam pada itu berharap sumbangan itu dapat dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya demi untuk kemajuan jawatankuasa, kelab atau persatuan masing-masing.

Terdahulu, Safiee telah mempengerusikan Mesyuarat Pengurusan Sistem Pemparitan Daerah Daro bagi merangka pelan induk sistem saliran, pengurusan sistem pemparitan serta cadangan program gotong-royong pembersihan Sungai Daro.

Tujuan utama perancangan program itu bagi memastikan pengurangan impak bencana alam sekitar seperti banjir.

Beberapa masalah telah dikenalpasti termasuklah hujan lebat, air pasang besar, sistem perparitan tersumbat serta perubahan landskap akibat pembangunan yang giat dilaksanakan di kawasan ini.

Cadangan dan pengurusan masalah tersebut telah dikemukakan oleh wakil-wakil agensi yang berkaitan dan akan dimuktamadkan pada mesyuarat penyelarasan akan datang.

Manakala pada sebelah petang, Safiee telah menerima dos kedua suntikan vaksin Pfizer bertempat di Hospital Daro.

Beliau dan beberapa ketua petugas barisan hadapan di kawasan Daro adalah antara penerima pertama vaksin itu sebelum ini.

Menyertai Safiee ialah Pegawai Daerah Daro Bujang Rahman Seli, Pengarah Hospital Daro Dr Al Husna Dahyan, KPD IPD Daro DSP Neil Beginda, Penguasa APM Daro Mohammad Najib Muhiddin, Jurutera Daerah JKR Daro Awang Dasuki Awang Dol dan Ketua Balai Bomba Daro Mohd Nor Abdullah. – EDISI UKAS

Share

add comment