MOTAC Sedia Promosikan Tempat Menarik Di Daerah Limbang

SABTU, 20 MAC 2021

LIMBANG: Penularan wabak pandemik COVID-19 telah membuka peluang  kepada Sarawak untuk memperkenalkan produk pelancongan yang sedia ada dan melihat sendiri kekuatan yang ada di negeri ini. 

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia Dato’ Sri Nancy Shukri berkata, untuk itu pada akhir tahun lepas, Kementerian  Pelancongan, Seni dan Budaya telah melancarkan Dasar Pelancongan Negara 2020-2030 yang bertujuan merancang apa yang perlu dilakukan dalam tempoh 10 tahun.

“Seperti kita di Limbang, produk pelancongan yang ditunjukkan tadi Lumpur Bebuak mempunyai nilai yang boleh dipromosikan untuk mendapatkan hasil bagi kita di Limbang ini.

“Dasar kita juga hendak melihat kepada kedatangan pelancong yang ramai dan kita juga mahu memupuk kolaborasi antara Persekutuan dan Negeri dan juga dengan agensi-agensi supaya kita dapat menambahkan lagi produk kita di samping meningkatkan kualitinya.

“Kita juga akan melihat infrastruktur yang ada kerana ia perlu ditingkatkan juga untuk membolehkan supaya pelancong kita merasa selesa dan mendapat mencapai ekspektasi yang mereka kehendaki apabila datang ke tempat kita,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Makan Malam sempena Lawatan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia ke Limbang di Dewan Kampung Bunga Raya, Limbang pada Jumaat. 

Dato’ Sri Nancy dan rombongan mengadakan Lawatan Kerja Ke Limbang bermula 18 hingga 21 Mac 2021 untuk meninjau potensi produk pelancongan yang ada di Daerah Limbang di samping membantu sektor pelancongan di daerah ini.

Tambah Dato Sri Nancy lagi, penutupan sempadan antarabangsa telah menyebabkan industri pelancongan dunia berdepan krisis terburuk pada tahun 2020 dengan penurunan mendadak pelancong antarabangsa.

“Demi menyelamatkan industri pelancongan negara, MOTAC telah merangka dan melaksanakan Pelan Pemulihan Pelancongan yang merupakan strategi jangka pendek di bawah Dasar Pelancongan Negara 2020-2030.

“Bagi strategi jangka panjang pula, Dasar Pelancongan Negara (DPN) 2020-2030 ini akan dilaksanakan menerusi enam teras strategik utama,” tambahnya. 

Dasar ini akan dilaksanakan menerusi Pelan Eko-Pelancongan Kebangsaan (NEP) 2016-2025 yang mana, salah satu daripada sembilan kluster eko-pelancongan di Sarawak bagi meningkatkan lagi potensi sektor pelancongan di negeri ini, melibatkan Limbang-Mulu-Gunung Buda yang ada di Bahagian Limbang. 

Terdahulu Walikota Majlis Daerah Limbang, Kaunselor Sufian Mohat telah memperkenalkan beberapa produk pelancongan yang berpotensi untuk dipromosikan oleh pihak MOTAC seperti Lumpur Bebuak Meritam, Taman Negara Gunung Buda, Jeti Santaba, Kampung Patiambun, Luagan Langgari, Taman Tasik Mas, Rizab Semulajadi Bukit Sembiling dan Limbang Waterfront (terpanjang di Sarawak). 

Hadir sama Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia merangakap Ahli Parlimen Limbang Datuk Hasbi Habibollah, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau Paulus Palu Gumbang, Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia Dato’ Dr Noor Zari Hamat, Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Ibrahim Ismail,  Timbalan Ketua Pengarah Tourism Malaysia Dato’ Zainuddin Abdul Wahab, wakil Residen Bahagian Limbang Elizabeth Bujang dan Pegawai Daerah Limbang Superi Awang Said. -EDISI UKAS

Share

add comment