PBB Kabong Sokong Penuh Mohd Chee Dikekalkan

SABTU, 20 MAC 2021

KABONG: Ahli Parti Pesaka Bumiputra Bersatu (PBB) Cawangan N.40 Kabong sebulat suara bersetuju agar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Mohd Chee Kadir dikekalkan sebagai calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada Pilihanraya Negeri (PRN) akan datang.

Persetujuan itu disuarakan semasa Mesyuarat PBB Cawangan N.40 Kabong Bil 1 Bagi Tahun 2021 pada Sabtu.

Mohd Chee yang juga Ketua Cawangan PBB N40 Kabong turut mengingatkan semua ahli untuk bersiap sedia menghadapi PRN Sarawak.

Sementara itu, PBB N.40 Kabong turut menyokong sepenuhnya kenyataan ADUN Muara Tuang yang juga Ketua Penerangan PBB Negeri Sarawak, Datuk Idris Buang berkenaan isu penggunaan kalimah Allah yang hangat diperdebatkan ketika ini.

Merujuk kepada kenyataan Pejabat Ketua Menteri Sarawak, Kerajaan GPS akan terus mempertahankan dan memelihara toleransi beragama di Sarawak.

Malah ia disifatkan sebagai salah satu faktor penyatuan utama perpaduan rakyat di Sarawak yang terdiri daripada pelbagai latar belakang bangsa dan agama.

Selain itu, ia juga selaras dengan pendirian Sarawak yang konsisten dengan dasar toleransi agama sejak pentadbiran Tun Abdul Taib Mahmud sehingga kini di bawah pimpinan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg. – EDISI UKAS

Share

add comment