Pembukaan Sesi Persekolahan Bersemuka Sekolah Rendah Di Daerah Miri Ditangguhkan Dari 22 Hingga 28 Mac 2021

SABTU, 20 MAC 2021

MIRI: Pembukaan sesi persekolahan bersemuka sekolah rendah di Daerah Miri sekali lagi ditangguhkan disebabkan penularan wabak pandemik COVID-19 di kalangan murid dan guru. 

Menteri Bertanggungjawab Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri Datuk Lee Kim Shin dalam kenyataan media pada Jumaat berkata, dalam tempoh lima hari iaitu sejak Ahad hingga Jumaat, Miri telah mencatatkan pertambahan jumlah kes sebanyak 209. 

Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak 18 atau 9 peratus kes positif adalah terdiri daripada murid-murid sekolah-sekolah rendah dan menengah serta guru dan 55 orang pula telah dikesan sebagai kontak rapat yang juga terdiri daripada murid-murid sekolah-sekolah rendah dan menengah serta guru. 

“Saya telah melaporkan perkara ini kepada Pengerusi Jawataankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Negeri (JPBN) Sarawak dan setelah mesyuarat berbincang dengan terperinci bersama dengan Pegawai Pendidikan Daerah Miri membuat keputusan menangguhkan pembukaan sekolah bagi sekolah-sekolah rendah dalam pentadbiran Daerah Miri seminggu lagi dan selepas itu diikuti dengan cuti sekolah.

“Ini bermakna bahawa pembukaan sekolah bagi Daerah Miri akan buka bersama dengan Sekolah Menengah iaitu pada 5 April 2021. 

“Keputusan ini diambil setelah mengambil kira Miri dalam Zon Merah, kes-kes positif masih meningkat dan dalam kategori peringkat berjaga-jaga,” katanya. 

Sementara itu, dalam perkembangan sama JPBB Miri juga bersetuju untuk membuka operasi persekolahan bersemuka sekolah-sekolah rendah di Daerah Subis minggu depan selepas situasi semasa COVID-19 dalam keadaan lebih baik daripada sebelumnya dengan mencatat satu kes sahaja. 

Datuk Lee yang juga Menteri Pengangkutan Sarawak menambah, ibu bapa diminta untuk berganding bahu dan bekerjsama bagi menurunkan kes COVID-19 di Miri. 

“Ibu bapa diminta untuk bersama-sama berganding bahu serta bekerjasama bagi menurunkan kes di Miri. 

“Patuhi segala SOP, lebih berwaspada dalam keadaan kes meningkat. 

“Kita perlu memastikan segala SOP dipatuhi dengan ketat dan kita tidak leka atau cuai sehingga menyebabkan peningkatan kes membabitkan murid-murid sekolah dan guru yang berpunca daripada perhimpunan sosial keluarga atau kontak rapat membabitkan isi rumah,’ tambahnya. -EDISI UKAS

Share

add comment