Penduduk Tempatan Limbang Promosikan Sendiri Tempat Menarik Menerusi Pertandingan ‘Ten Top Wishlist’

SABTU, 20 MAC 2021

LIMBANG: Kehadiran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) ke Daerah Limbang adalah untuk melihat projek-projek yang telah dibantu sebelum ini.

Menurut Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia Dato’ Sri Nancy Shukri, adalah penting untuk melihat dan mengenal pasti tempat dan produk pelancongan yang ada di Daerah Limbang untuk dijadikan tarikan kepada penduduk tempatan dan orang luar Limbang. 

“Yang pastinya di sini apa yang perlu dilakukan adalah promosi. 

“Saya mencadangkan agar orang Limbang sendiri yang mempromosikannya sebab pada masa ini Tourism Malaysia sedang menjalankan Pertandingan Ten Top Wishlist yang mana terbuka kepada orang ramai untuk ikut serta dalam pertandingan ini. 

“Jadi untuk mengetahui lebih lanjut boleh layari laman web Tourism Malaysia untuk mengetahui sendiri bagaimana kita boleh melibatkan diri dalam pertandingan ini,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa ditemui media selepas mengadakan lawatan ke Lumpur Bebuak Kampung Meritam pada Jumaat. 

Lumpur Bebuak Kampung Meritam terletak 37 km dari bandar Limbang iaitu lebih kurang 40 minit menggunakan jalan darat dan merupakan salah satu produk pelancongan yang terdapat di daerah Limbang dan mempunyai keunikannya sendiri.

Tambah Dato’ Sri Nancy lagi, pertandingan ini memberi penekanan kepada penduduk tempatan untuk berfikir mengenai produk sebagai ‘Top Wishlist’ dan dalam masa yang sama mempromosikan tempat sendiri.

“Jadi ini yang kita bincangkan bersama dan kita tidak mahu apabila memikirkan berkenaan pelancongan, ia seperti macam di Lumpur Bebuak, Limbang ini sahaja tetapi ada banyak lagi keunikan yang lain seperti makanan, sajarah-sejarahnya, adat budaya orang Bisaya, orang Kedayan dan bangsa-bangsa lain di Limbang ini yang boleh dikongsikan.

“Ini juga akan menjadi daya tarikan, yang penting orang itu mesti pandai menceritakannya,” ujarnya. 

Dato’ Sri Nancy dan rombongan berkesempatan menyaksikan sendiri kanak-kanak terapung di dalam lubang lumpur bebuak.

Hadir sama Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia yang juga Ahli Parlimen Limbang Datuk Hasbi Habibollah, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau Paulus Palu Gumbang, Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia Dato’ Dr Noor Zari Hamat, Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Ibrahim Ismail, Timbalan Ketua Pengarah Tourism Malaysia Dato’ Zainuddin Abdul Wahab, Walikota Majlis Daerah Limbang Kaunselor Sufian Mohat dan Ketua Kampung Meritam Mahmud Gampal. -EDISI UKAS

Share

add comment