Perayaan Qingming, Masyarakat Cina Dikehendaki Patuhi SOP

SABTU, 20 MAC 2021

MIRI: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak membenarkan sambutan Perayaan Qingming yang akan diadakan pada 4 April 2021. 

Menurut Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Lee Kim Shin, sambutan ini adalah tertakluk kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan. 

“Kehadiran adalah tidak melebihi 8 orang ahli keluarga sahaja. 

“Manakala, bagi menziarah Columbarium atau Dewan Memorial, aktiviti adalah dibenarkan mulai 20 Mac 2021 hingga 14 April 2021, dari pukul 4.00 pagi hingga 12.00 tengah hari dengan kehadiran tidak melebihi 2 orang ahli keluarga sahaja,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa ditemui media selepas mengadakan lawatan ke tapak kawasan Tanah Perkuburan Cina Riam, Miri pada Sabtu. 

Datuk Lee yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin meminta Jawatankuasa Persatuan Ghee San Riam Road Miri untuk menyediakan pelekat MySejahtera di sekitar tanah perkuburan untuk diimbas, penambahan anggota petugas RELA dan mendirikan banner SOP Qing Ming untuk pengetahuan orang awam.

Dalam perkembangan lain, beliau turut menafikan kenyataan media yang ditular dalam media sosial yang mengatakan tanah perkuburan Cina Riam Miri akan ditutup dan tidak membenarkan sebarang aktiviti menziarah menjelang perayaan Qing Ming.

Hadir sama Pengerusi Persatuan Ghee San Riam Road Miri Shin Teck Choi dan Pengarah Hospital Umum Miri Dr Jack Wong. -EDISI UKAS

Share

add comment