RM500,000 Diperuntuk Baikpulih, Bina Baharu Jalan Kawasan Rumah Panjang Jalan Dit

SABTU, 20 MAC 2021

DEBAK: Sebanyak RM500,000 akan diperuntukkan bagi projek baikpulih dan bina baharu jalan di kawasan rumah panjang sepanjang Jalan Dit di Debak.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas, Mohammad Razi Sitam, projek tersebut di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dengan agensi pelaksananya ialah Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) Bahagian Betong.

Mengulas semasa meninjau tapak cadangan projek itu pada Jumaat, Mohammad Razi berharap agar lebih banyak jalan yang dapat dibaikpulih dan dibina baharu khusus untuk di kawasan rumah panjang di sepanjang jalan itu.

Katanya, jika terdapat pertindihan dengan projek RTP, beliau akan berunding dengan pihak JKR untuk menukar skop projek tersebut.

Sambil berharap pihak DID menyediakan spesifikasi dengan kadar segera, beliau turut menekankan untuk membaikpulih jalan masuk menuju ke rumah panjang dan baikpulih jalan setiap rumah individu yang ada di sepanjang Jalan Dit.

Dalam pada itu, semasa merasmikan Majlis Sanjungan Budi Lambaian Kasih di SK Datuk Bandar Debak, Mohammad Razi berkata Sekolah Kebangsaan (SK) Sebemban yang terletak dalam Zon Betong akan dibina semula.

“Sukacita ingin saya maklumkan bahawa, baru-baru ini telah keluar surat tawaran kepada kontraktor yang telah dilantik untuk membina semula SK Sebemban yang merupakan sekolah di bawah Zon Betong.

“Alhamdulillah, sekarang ini telah banyak sekolah yang bakal mendapat pembangunan fizikal yang lebih baik dan selesa serta selamat untuk digunakan pada masa akan datang.

“Ini semua tidak lain adalah hasil kerjasama dari tuan puan sebagai pentadbir di peringkat sekolah masing-masing,” katanya semasa berucap.

Menurutnya, barisan kepimpinan sekolah rendah dan menengah dalam DUN Saribas sangat memberi kerjasama dalam apa saja program yang melibatkan pembangunan pendidikan terutamanya akademik dan pembangunan fizikal sekolah.

Majlis itu diadakan bagi meraikan guru yang bakal bersara iaitu Mantan Guru Besar SK Tuie Cikgu Julaihi Nu dan Mantan Penolong Kanan Hal Ehwal Murid SK St. Christopher Cikgu Tugok Galau.

Turut diraikan bersama Mantan Pengerusi Majlis Guru Besar Zon Debak, Cikgu Abg. Abdul Rahim Abg. Abu (Guru Besar SK Dit). – EDISI UKAS

Share

add comment