Jambatan Bailey Ikon Baharu Di Buso & Musi

SABTU, 20 MAC 2021

BAU: Kampung Melayu Buso, Kampung Seberang Buso, Buso Cina dan Musi akan mempunyai nilai instrumental tersendiri apabila Jambatan Bailey yang reka bentuknya diadaptasi dari negara China siap kelak.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru, Dato Henry Harry Jinep berkata, reka bentuk jambatan tersebut direka oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak.

Menurutnya, jambatan Buso-Musi ini adalah amat bertepatan dengan pelaksanaan pembesaran Kampung Buso dan juga memudahkan penduduk Buso untuk ke Kuching.

“Saya difahamkan Kampung Buso sudah ada pembesaran kampung dan jambatan ini memang pertepatan untuk pembesaran kampung dan juga memudahkan orang Buso kalau hendak ke Kuching tidak perlu lagi menggunakan Jalan Batu Kitang dan Jalan Sibuluh.

“Jambatan ini akan mencipta satu sejarah kepada orang di kawasan Bau terutamanya orang Singai di mana sejarahnya dulu orang Singai berjalan kaki untuk ke Pekan Bau dengan melalui kawasan Musi ke Kampung Buso dengan menggunakan sampan,” katanya semasa meninjau pembinaan Jambatan Buso-Musi pada Jumaat.

Dato Henry yang pernah melalui jalan ini yang ketika dahulu menggunakan jalan tanah bersyukur dengan kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) di bawah pimpinan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg kerana telah meluluskan pembinaan jambatan tersebut.

“Beliau pada masa itu datang ke sini melakukan ‘walkabout’ pada 2016 ketika menjawat sebagai Timbalan Ketua Menteri. Apabila beliau datang ke sini beliau telah meluluskan pembinaan dua jambatan sekali iaitu satu di Jambatan Buso ini (RM5 juta) dan satu di Jambatan Tondong (RM10 juta) yang sekarang dalam proses pembinaan,” jelasnya.

Dato Henry menambah, apabila siapnya jambatan tersebut pihak JKR diminta untuk memasang lampu di jambatan tersebut dan juga lampu isyarat supaya melancarkan pergerakan kenderaan.

“Kita minta JKR untuk mempertimbangkan kerana kita masih mempunyai peruntukan syiling RM5 juta dan jambatan ini cuma RM3.8 juta jadi kita ada lebihan dalam RM1.2 juta.

“Justeru, kita mohon digunapakai selebihnya untuk dipasang jaring keselamatan kerana jambatan ini digunakan pelajar berulang-alik ke sekolah,” katanya.

Turut hadir dalam lawatan kerja tersebut adalah Pegawai Daerah Bau, Anielia Siam dan Pengurus Projek Jambatan dan Dermaga, JKR Wilayah Selatan, Syahril Julaihi. -EDISI UKAS

Share

add comment