Suntikan Vaksin COVID-19 adalah Tanggungjawab Moral Masyarakat: Abdullah Saidol

SABTU, 20 MAC 2021

KUCHING: Suntikan vaksin COVID-19 merupakan tanggungjawab moral rakyat untuk melindungi diri dan masyarakat sekeliling.

Menteri Muda Hal Ehwal Korporat dan Unit Komunikasi Awam Sarawak, Abdullah Saidol menyeru setiap rakyat untuk mendaftarkan diri bagi mendapatkan suntikan tersebut dengan segera dan tanpa berasa was-was.

“Syukur Alhamdulillah saya telah melalui suntikan vaksin untuk kali kedua dan saya rasa tiada apa yang perlu dirisaukan setelah melalui suntikan vaksin yang pertama.

“Kelmarin YAB Ketua Menteri, Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg telah mengambil vaksin kedua beliau juga dan pada hari ini beberapa menteri kanan dan petugas barisan hadapan juga melalui proses suntikan kedua.

“Saya galakkan kepada semua warga negeri supaya cepat mendaftar dan tidak ada rasa was-was untuk menjalani suntikan vaksin ini kerana ini adalah tanggungjawab moral kita bukan hanya untuk melindungi diri sendiri tetapi juga keluarga dan masyarakat di sekeliling.

“Jadi, daftar untuk dapatkan suntikan vaksin. Kita lindungi diri, kita lindungi semua,” katanya selepas mendapatkan suntikan kedua di Stadium Perpaduan, Petra Jaya pada Sabtu. – EDISI UKAS

Share

add comment