Dato’ Seri Tiong Mohon KKM Sedia Bekalan Vaksin COVID-19 Mencukupi Bagi Warga Bintulu

AHAD, 21 MAC 2021

BINTULU: Ahli Parlimen Bintulu, Dato’ Seri Tiong King Sing akan memohon kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi menyediakan bekalan vaksin COVID-19 yang mencukupi untuk warga bahagian berkenaan.

Beliau yang juga Duta Khas Kepada Perdana Menteri ke Republik Rakyat China memberitahu, kuota yang mencukupi amat perlu supaya matlamat imunisasi sejagat di Bintulu dapat dicapai sekaligus memerangi wabak COVID-19.

“Vaksinasi di Bintulu telah pun bermula, namun saya mengetahui bahawa kuota vaksin yang diperoleh Bintulu dalam tempoh tiga hari ini hanya 1,770 dos iaitu jauh lebih rendah daripada permintaan sebenar di Bintulu,” katanya ketika ditemui media selepas melawat pusat vaksinasi COVID-19 di Universiti Putra Malaysia (UPMKB), pada Sabtu.

Pada masa sama, beliau menggalakkan rakyat Bintulu mendaftar untuk program vaksinasi kerajaan menerusi aplikasi MySejahtera.

Malah tegas, masyarakat umum tidak perlu takut dan bimbang dengan pelbagai kenyataan negatif yang ditularkan dalam media sosial berhubung vaksin COVID-19. -EDISI UKAS

Share

add comment