Ketahui Informasi Vaksin COVID-19 Supaya Tidak Terpengaruh Dengan Berita Palsu

AHAD, 21 MAC 2021

LAWAS: Kerajaan berusaha untuk memastikan setiap rakyatnya mendaftar dan menerima vaksin COVID-19 dalam memutuskan rantaian penularan wabak pandemik COVID-19. 

Menurut Pejabat Kesihatan Daerah Lawas Dr Ahmad Khairi Khusaini, adalah penting untuk setiap masyarakat mengetahui informasi berkenaan dengan vaksin COVID-19 supaya tidak terpengaruh dengan berita palsu di media sosial sehingga menimbulkan kebimbangan di kalangan rakyat. 

“Kerajaan telah menerima dua jenis vaksin iaitu Pfizer-BionTech dan Sinovac. 

“Peluang untuk COVID-19 merebak adalah rendah jika ramai sudah menerima vaksin. Jadi kita dapat mencegah penularannya dengan penggunaan vaksin. 

“Vaksin ini berfungsi melalui suntikan yang akan menghasilkan antibodi untuk melawan virus COVID-19. Berbeza dengan yang belum menerima vaksin, badan perlahan untuk melawan virus tersebut,” katanya semasa menyampaikan Taklimat Program  Imunisasi Kebangsaan di Kampung Tang Itong, Lawas pada Sabtu. 

Tambah Dr Ahmad Khairi lagi, untuk memastikan setiap rakyat menerima vaksin COVID-19, mereka boleh mendaftarkan diri menerusi aplikasi MySejahtera dan Pejabat Daerah yang terdekat serta Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK). 

Dalam program itu, Agro Bank telah menyumbang 3 Pelan Perlindungan kepada penduduk yang bertuah dan Jabatan Penerangan Daerah Lawas menyerahkan risalah Prosedur Operasi Standard (SOP) COVID-19 kepada Ketua Kampung Suut Kurus. -EDISI UKAS

Share

add comment