Ketinggalan Dalam Tempoh 22 Bulan, Kerajaan GPS Bangunkan Sarawak Menerusi Acuan Sendiri

AHAD, 21 MAC 2021

LIMBANG: Di bawah Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS), rakyat Sarawak telah banyak menerima pembangunan hasil inisiatif pemimpin Kerajaan Sarawak yang sebelum ini telah ketinggalan semasa pemerintahan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) selama 22 bulan. 

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia Dato’ Sri Nancy Shukri berkata, dalam tempoh itu rakyat Sarawak sendiri dapat melihat Kerajaan GPS membangunkan Sarawak dengan begitu cepat sekali seperti di Wilayah Utara ini menerusi Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA).

“Kalau dahulu di kawasan Pertengahan ada RECODA, di kawasan saya Samarahan di bawah IRSDA, di kawasan Sri Aman mereka ada SADA. 

“Jadi semuanya ini ditubuhkan untuk membantu mempercepatkan pembangunan di negeri Sarawak.

“Kita berterima kasih kepada Datuk Patinggi Abang Zohari kerana beliau mempunyai pandangan yang begitu jauh sekali dan beliau telah melihat sendiri banyak kekurangan yang kita alami yang selama ini sebelum tempoh 22 bulan itu memang kerajaan Persekutuanlah yang banyak membantu kita,” katanya. 

Beliau yang berucap dalam Perasmian Masjid Al-Asr Kampung Meritam Limbang pada Sabtu turut menambah, apabila berada dalam pemerintahan sendiri, ianya akan membolehkan satu pemikiran kritis untuk mempercepatkan lagi pembangunan infrastruktur dan sosial. 

“Semuanya ini perlu difikirkan oleh mereka yang menjadi pemimpin dan di sini kita ada pemimpin di peringkat Parlimen dan DUN, mereka perlu bekerjasama.

“Solidariti di kalangan pemimpin-pemimpin amat perlu sekali kerana ianya dapat dilihat dan dinilai oleh rakyat,” tambahnya. 

Masjid Al-Asr Kampung Meritam menggantikan surau lama Kampung Meritam Surau Darul Iman yang telah berusia 24 tahun itu terletak di Mukim Telahak dan siap dibina pada Oktober 2020 dengan kos RM350,000 di bawah Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) 2019. 

Pembinaan masjid ini memang dinantikan oleh penduduk kampung untuk kemudahan tempat beribadah yang lebih selesa kerana sebelum ini mereka menunaikan Solat Jumaat di Masjid Nurul Iman Kampung Telahak yang terletak 5 km dari Kampung Meritam.

Hadir sama Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia merangakap Ahli Parlimen Limbang Datuk Hasbi Habibollah, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau Paulus Palu Gumbang, Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia Dato’ Dr Noor Zari Hamat, Walikota Majlis Daerah Limbang Kaunselor Sufian Mohat, Pegawai Daerah Limbang Superi Awang Said, Pegawai Agama Islam Bahagian Limbang Awang Abdul Rahim Awang Rosely dan Ketua Kampung Meritam Mahmud Gampal. -EDISI UKAS

Share

add comment