Pematuhan SOP Di UTC Miri Memuaskan, Operasi JPN Dan JIM Dibuat Menerusi Temu Janji Atas Talian

AHAD, 21 MAC 2021

MIRI: Menteri Bertanggungjawab Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri Datuk Lee Kim Shin telah mengadakan lawatan pemantauan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) COVID-19 bersama dengan agensi dan jabatan di bawah JPBB Miri di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Miri  pada Ahad.

Datuk Lee yang juga Menteri Pengangkutan Sarawak berkata, lawatan ini bertujuan melihat engoperasian agensi-agensi kerajaan di UTC Miri dan memastikan segala SOP COVID-19 yang digariskan oleh kerajaan dipatuhi dengan ketat. 

“Kita memerhati bahawa pematuhan SOP bagi setiap agensi pada hari ini adalah memuaskan. 

Pengoperasian UTC Miri telah dibuka semula pada 17 Mac 2021 dari jam 8:00 pagi hingga 5:00 petang dengan agensi kerajaan Service Sarawak, Klinik Kesihatan, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dibuka kepada orang ramai. 

Jelas kenyataan itu lagi, bagi urusniaga JPN dan JIM ianya dilakukan menerusi temu janji secara atas talian. 

Bagi urusniaga JPN, orang ramai boleh melayari laman sesawang https://mytemujanji.jpn.gov.my/ atau; dengan mengimbas QR Code yang dipaparkan di kaunter atau laman sesawang JPN. Manakala bagi urusan dengan JIM, orang ramai terlebih dahulu diminta untuk mendaftar temujanji secara online dengan melayari http://sto.imi.gov.my/e-temujanji/. 

Dalam pada itu, Datuk Lee mencadangkan agar ruang laluan keluar bangunan UTC Miri diperbesarkan dengan mengalih satu barisan kerusi di hadapan dan meminta agar satu unit kanopi ditambah bagi memberikan keselesaan kepada orang ramai yang menunggu. 

Turut hadir wakil Pemangku Residen Bahagian Miri Rose Edward Tarang, Pemangku Pegawai Daerah Miri Siti Rohanie Yusof, Datuk Bandar Miri Adam Yii Siew Sang, Pegawai Kesihatan Bahagian Miri Dr. P. Raviwharmman serta semua agensi penguatkuasa di bawah JPBB Miri. 

Share

add comment