Segera Daftar Sebagai Penerima Vaksin COVID-19

AHAD, 21 MAC 2021

BINTULU: Rakyat di negeri ini khususnya warga Bintulu diminta untuk segera mendaftar bagi mendapatkan suntikan vaksin COVID-19.

Ahli Dewan Negara, Senator Rita Insol berkata, pengambilan suntikan dos vaksin COVID-19 penting untuk kebaikan diri, keluarga dan masyarakat sekaligus membantu memulihkan kehidupan rakyat dan ekonomi negara.

Menurutnya, rakyat perlu bersedia sebelum menerima vaksin COVID-19 bagi menyokong usaha kerajaan memerangi wabak berkenaan.

“Saya mohon kepada semua supaya segera daftar dan tunggu giliran anda. Jangan bimbang, tiada rasa sakit apabila disuntik, malah keadaan saya masih lagi sihat seperti biasa selepas menerima suntikan vaksin ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menerima suntikan vaksin COVID-19 keluaran Pfizer-BioNTech di Dewan Sri Kenyalang Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu pada Sabtu.

Sementara itu, beliau menambah, rakyat tidak seharusnya melepaskan peluang menerima vaksin yang diberikan secara percuma oleh kerajaan Malaysia.

Justeru katanya, rakyat dinasihatkan untuk memastikan semua maklumat yang diberi adalah lengkap dan tepat untuk kelancaran proses pendaftaran.

“Sebelum ini, kita belum ada vaksin COVID-19, jadi, jangan lepaskan peluang ini. Lebih cepat dapat suntikan lebih terjamin kesihatan kita dan mungkin dengan cara itu, kita dapat memerangi wabak ini,” jelasnya. -EDISI UKAS

Share

add comment