Seramai 1,770 Individu Terima Vaksin COVID-19 Peringkat Bahagian Bintulu Fasa 1 Siri 2

AHAD, 21 MAC 2021

BINTULU: Seramai 1,770 orang individu lagi menerima suntikan vaksin COVID-19 menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Peringkat Bahagian Bintulu Fasa 1 Siri 2.

Program yang diadakan selama tiga hari bermula 20 hingga 23 Mac ini berlangsung dengan suasana sederhana mengikut prosedur operasi standard (SOP) dan norma baharu yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan.

Pegawai Kesihatan Bahagian Bintulu, Dr Melvin Chung Hsien Liang berkata, seramai 552 individu terdiri daripada petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) termasuk agensi kerajaan berkaitan lain menerima suntikan vaksin COVID-19 keluaran Pfizer-BioNTech pada Sabtu.

Manakala katanya, seramai 852 lagi individu menerima suntikan vaksin COVID-19 pada hari ini dan seramai 366 lagi individu bakal divaksinasi pada Isnin.

“Bagi Daerah Tatau pula, seramai 96 individu menerima suntikan vaksin yang berlangsung selama dua hari bertempat di Dewan Sukan Tatau.

“Manakala, seramai 414 individu lagi bakal menerima suntikan dos kedua vaksin COVID-19 yang dijadualkan pada 27 Mac ini,” katanya semasa ditemui pada Sabtu.

Dalam pada itu, beliau menggesa orang ramai di Bahagian Bintulu termasuk Daerah Tatau dan Sebauh terutama di kawasan luar bandar dan pedalaman untuk terus mendaftar bagi mendapatkan suntikan vaksin COVID-19.

Ahli Parlimen Bintulu merangkap Duta Khas Kepada Perdana Menteri ke Republik Rakyat China, Dato Seri Tiong King Sing yang turun meninjau proses vaksinasi itu turut berpuas hati dengan kelancaran program vaksinasi tersebut. -EDISI UKAS

Share

add comment