Timbalan Ketua Menteri Pantau Tiga Projek Pertanian Di Lundu

AHAD, 21 MAC 2021

KUCHING: Sektor pertanian merupakan aset penting bagi kerajaan dalam membangunkan sesebuah negeri.

Sehubungan itu, Timbalan Ketua Menteri Sarawak merangkap Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah, Datuk Amar Douglas Uggah Embas melakukan lawatan kerja ke kawasan Lundu pada Ahad.

Lawatan beliau dimulakan di Skim Padi Sawah DID Tanjung Purun, Kampung Stunggang Melayu di mana projek pembangunan padi di situ menelan peruntukan sebanyak RM13.28 juta.

Pada tahun 2020, seramai 96 orang petani telah menyertai projek ini dengan keluasan sawah yang diusahakan adalah seluas 88 hektar daripada 140 hektar.

Difahamkan bagi khidmat menuai musim 2020/2021, dua buah ‘combine harvester’ akan digunakan dengan anggaran keperluan subsidi khidmat menuai sebanyak RM38,000 iaitu subsidi sebanyak RM500 per hektar dituai yang akan dijalankan dari 9 Mac hingga 15 April 2021.

Kemudian lawatan beliau diteruskan ke Pusat Pemprosesan Madu Kelulut Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Sri Gading dengan 60 orang penternak madu kelulut telah menyertai program ini.

Penternakan madu kelulut di Lundu dimulakan sejak tahun 1999 di Kampung Perian, Lundu dan pada tahun 2012, PPK Sri Gading telah menjadi perintis kepada penternakan lebah melibatkan ahli PPK seramai 8 koloni.

Sehingga tahun 2021, jumlah semakin bertambah iaitu seramai 60 penternak madu kelulut berdaftar di PPK Sri Gading dengan 2,067 koloni.

Selain itu, PPK Sri Gading juga telah menjalin kerjasama dengan Bayu Gagah Marketing Sdn Bhd untuk memasarkan produk madu kelulut ke luar negara.

Seterusnya Datuk Amar Douglas mengadakan lawatan ke Kolam Ternakan Udang Sampadi, Lundu.

Sejurus tiba, beliau telah diberikan taklimat berkenaan projek penternakan udang oleh pihak Sea Horse (SH) Corporation.

Dimaklumkan kaedah menternak udang secara moden telah meningkatkan jumlah nilai udang telah dieksport iaitu RM77 juta pada tahun 2020 berbanding RM61 juta pada tahun 2019.

Selain itu, kaedah ternakan secara moden juga meningkatkan berat udang yang diternak.

Sehingga kini, hasil penternakan udang yang dibantu oleh kaedah moden ini adalah mencecah 911,687 kilogram

Turut sama mengiringi Datuk Amar Douglas dalam lawatan tersebut, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu, Datuk Amar Jamilah Anu.-EDISI UKAS

Share

add comment