1,770 Petugas Barisan Hadapan Bahagian Bintulu Terima Suntikan Dos Pertama Vaksin COVID-19

ISNIN, 22 MAC 2021 

BINTULU: Seramai 1,770 orang petugas barisan hadapan di Bintulu menerima suntikan dos pertama vaksin COVID-19 sepanjang tiga hari berlangsungnya Program Vaksinasi Kebangsaan di bahagian berkenaan bermula Sabtu lepas hingga Isnin. 

Ahli Parlimen Bintulu, Dato’ Seri Tiong King Sing berkata, beliau berpuas hati dengan kelancaran Program Vaksinasi Kebangsaan yang dikendalikan oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). 

“Saya cukup gembira apabila melihat ramai penerima hadir menerima suntikan dos pertama vaksin COVID-19.

“Jumlah keseluruhan penerima vaksin COVID-19 di Bahagian Bintulu sepanjang tiga hari ialah seramai 1,770 orang,” katanya. 

Beliau berkata demikian selepas meninjau Program Vaksinasi Kebangsaan di Dewan Sri Kenyalang Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB) pada Sabtu. 

Dalam pada itu, beliau turut menceritakan pengalamannya selepas menerima suntikan vaksin Sinovac dengan tidak mengalami kesan sampingan selepas beberapa hari menerima suntikan vaksin tersebut.

Malah beliau yakin akan keberkesanan vaksin Sinovac seperti yang diperakui Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Dato Sri Tiong yang juga Duta Khas Perdana Menteri ke Republik Rakyat China turut menggesa penduduk di Bahagian Bintulu untuk mendaftarkan diri sebagai penerima vaksin COVID-19 bagi melindungi diri, keluarga dan masyarakat daripada wabak pandemik COVID-19. 

“Saya memohon kepada semua rakyat di Bintulu mendaftar dan menerima vaksin untuk kesihatan dan melindungi diri daripada penularan wabak COVID-19,” gesanya. 

Hadir sama Ahli Dewan Negara, Senator Rita Serimah Insol dan Pegawai Kesihatan Bahagian Bintulu Dr. Melvin Chung Hsien Liang. -EDISI UKAS

Share

add comment