ADUN Murum Pengerusikan Mesyuarat Dialog Seksyen 6 Pengambilan Balik Tanah

ISNIN, 22 MAC 2021

BINTULU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Murum, Kennedy Chukpai Ugon baru-baru ini telah mempengerusikan Mesyuarat Dialog Seksyen 6 Pengambilan Balik Tanah Bagi Tujuan Stesen Pertanian Di Bahagian Lot 3, Blok 15, Daerah Tanah Rasan, Tubau.

Mesyuarat itu bagi membincang dan menerangkan kepada semua pihak terbabit berhubung pengambilan balik tanah bagi pembinaan Stesen Pertanian di Tubau demi kemudahan serta keperluan agensi kerajaan dan rakyat di situ untuk memajukan aktiviti pertanian kelak.

Beliau dalam pada itu berharap rakyat khususnya masyarakat di Murum mendapat manfaat sepenuhnya daripada perancangan tersebut pada masa hadapan.

Kennedy juga turun padang bagi meninjau tapak tanah menentukan sempadan untuk pembinaan stesen pertanian bagi kawasan Tubau.

Pemantauan ini adalah susulan daripada mesyuarat dialog Seksyen 6 (1) Native Communal Reserve (Agriculture) yang lepas bertujuan pengambilan balik tanah bagi mencari tapak yang sesuai untuk melakukan kerja survei kawasan stesen pertanian di kawasan tanah Rasan, Tubau.

Selain itu, beliau juga melakukan lawatan ke Penempatan Semula Bakun (BRS) Sungai Asap untuk meninjau kerja-kerjau survei jajaran pemasangan kabel optik yang paling sesuai dalam usaha menjadikan BRS Sungai Asap sebagai perkampungan digital.

Katanya, semua usaha berkenaan dilakukan demi menambahbaik kemudahan atau keperluan masyarakat Murum pada masa hadapan kelak. – EDISI UKAS

Share

add comment