Bina Baru Dewan SMK St Anthony Sarikei Telan Kos RM400,000

ISNIN, 22 MAC 2021

SARIKEI: Dewan SMK St Anthony Sarikei bakal berwajah baru selepas ADUN Repok, Dato’ Sri Huang Tiong Sii memperuntukkan sebanyak RM400,000 untuk membina semula fasiliti berkenaan.

Menurut Dato’ Sri Huang, pembinaan dewan tersebut di bawah projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) beliau.

Jelasnya, apabila siap kelak, dewan serba guna tersebut akan memberi manfaat kepada semua pelajar selain memupuk pelajar agar lebih cemerlang dan membawa sekolah itu ke arah kejayaan.

Semasa melawat tapak projek itu pada Ahad, Dato’ Sri Huang mengucapkan terima kasih kepada Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg kerana membawa banyak pembangunan kepada Sarikei terutamanya dalam bidang pendidikan. 

Malah tambahnya, beliau akan berusaha mendapatkan peruntukan daripada Kerajaan Sarawak untuk menaiktaraf infrastruktur sekolah agar pelajar mempunyai persekitaran pembelajaran yang selamat dan selesa. – EDISI UKAS

Share

add comment