Peratusan Pendaftaran Vaksin Masih Rendah – Dr Tiong

AHAD, 21 MAC 2021

TATAU : Vaksin COVID -19 terbukti selamat dan berkesan untuk mengekang penularan COVID-19.

Namun begitu, menurut Pakar Perubatan Keluarga Klinik Kesihatan Tatau, Dr. Tiong Chong Ying, peratusan yang telah mendaftar vaksin masih rendah.

Katanya, salah satu faktor adalah disebabkan sesetengah golongan yang berisiko seperti warga emas, beranggapan bahawa mereka tidak perlu divaksin kerana mereka hanya berada dirumah.

“Namun begitu, golongan ini adalah berisiko kerana anak dan cucu mereka bekerja diluar dan balik ke rumah panjang terutamanya musim cuti dan hujung minggu,” jelasnya semasa ditemubual media selepas sesi penerangan dan soal jawab  berkaitan Vaksin COVID-19 bersama Ketua Kaum dan Masyarakat (KMKK) di Daerah Tatau baru-baru ini.

Selain itu ujarnya, ada dikalangan ibu yang mengandung risau dan takut menerima suntikan vaksin disebabkan risau akan adanya kesan sampingan terhadap kandungan.

“Mereka tidak perlu risau kerana suntikan ini adalah selamat. Mereka boleh diberikan suntikan vaksin apabila usia kandungan mereka dari 13 hingga 33 minggu,” katanya lagi.

Dalam pada itu tambah Dr Tiong, bagi yang mempunyai sejarah alahan (alergik) pemakanan atau ubat-ubatan pula, golongan ini disaran untuk mendapatkan suntikan vaksin di hospital, oleh kerana fasiliti yang lebih mencukupi disediakan. -EDISI UKAS

Share

add comment