Farmasi Pandu Lalu Klinik Kesihatan Tudan Beri Perkhidmatan Alternatif Mudah Kepada Orang Ramai Mengambil Ubat

ISNIN, 22 MAC 2021

MIRI: Perkhidmatan Farmasi Pandu Lalu Klinik Kesihatan Tudan yang diperkenalkan Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebagai jalan penyelesaian kepada masalah orang ramai dalam proses pengambilan ubat. 

Sebelum ini, pesakit terpaksa berhadapan kepada beberapa masalah semasa proses pengambilan ubat seperti kesesakan di farmasi, tempat meletak kenderaan yang tidak mencukupi dan masa menunggu giliran yang lama di kaunter farmasi.

Klinik Kesihatan Tudan merupakan antara klinik kesihatan yang penuh sesak dengan menerima purata 700 pesakit sehari dan jumlah itu meningkat kepada 900 hingga 1,000 pesakit pada waktu puncak.

Projek ini membabitkan jumlah keseluruhan berjumlah RM80,000 dan merupakan projek bersama di antara Rotary Club of Miri Old Town dan Advocates Association of Sarawak (Miri) sebagai penaja utama dengan sokongan Pusat Khidmat Masyarakat DUN Senadin, Pejabat Kesihatan Bahagian Miri dan penaja-penaja lain.

Menteri Pengangkutan Negeri Sarawak Datuk Lee Kim Shin telah merasmikan Farmasi Pandu Lalu Klinik Kesihatan Tudan pada Isnin. 

Untuk menggunakan perkhidmatan ini, pesakit hanya perlu mendaftar di kaunter farmasi sebelum pengambilan ubat susulan yang seterusnya. 

Ubat-ubat ini akan disediakan sebelum tarikh temu janji pengambilan ubat susulan, pesakit hanya perlu pandu lalu di kabin farmasi, terus mengambil bungkusan ubat mereka lalu balik.

Sempena kawalan Pandemik COVID-19 yang sedang dilaksanakan pada masa kini, Farmasi Pandu Lalu ini memang bersesuaian kerana kawalan perjarakan sosial dapat diamalkan dan kesesakkan orang ramai juga dapat dielakkan.

Sementara itu, Datuk Lee yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin menuntut kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk membina sebuah klinik kesihatan yang baru di kawasan Permyjaya dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) memandang klinik sedia ada ini tidak dapat menampung jumlah populasi yang kian meningkat iaitu mencecah hampir 200,000 penduduk bagi kawasan Zon Utara Miri termasuk Tudan, Senadin, Kuala Baram dan Permyjaya.

Hadir sama Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak yang juga Penasihat Rotary Club Miri Oil Town Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, Datuk Bandaraya Miri (MBM) Adam Yii Siew Sang, Pegawai Kesihatan Bahagian Miri Dr P. Raviwharmman Packierisamy, Pegawai Farmasi Kesihatan Bahagian Miri Chai Min Choo, Pengerusi Joint Community Project Lau Siong Mah, Presiden Rotary Club Miri Oil Town Sean Huang Hong Siong dan Pengerusi Advocates Association of Sarawak (Miri) Branch Gurvir Singh Sandhu. -EDISI UKAS

Share

add comment