Jeti Santaba Kampung Patiambun Limbang Kaya Dengan Produk Pelancongan Menarik, Wajib Dikunjungi

ISNIN, 22 MAC 2021

LIMBANG: Produk pelancongan yang ada di Jeti Santaba, Kampung Patiambun ini mempunyai daya tarikan tersendiri untuk dikomersialkan. 

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia Dato’ Sri Nancy Shukri berkata, keadaan ini menjadikan kawasan ini menjadi kawasan tarikan pelancongan dalam dan luar negara. 

“Kita sememangnya akan mempromosi dan mengetengahkan aktiviti ekonomi pelancongan supaya pelancong akan memilih Malaysia sebagai tempat menarik untuk dilawati di dunia seperti yang ada di Daerah Limbang ini,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa ditemui selepas mengadakan lawatan kerja ke Jeti Santaba Kampung Patiambun, Limbang pada Sabtu. 

Mengulas mengenai Jeti Santaba Kampung Patiambun ini, Dato Sri Nancy selain mempunyai pemandangan indah dan menarik, ianya juga mempunyai tarikan tersendiri seperti adanya monyet Belanda yang sememangnya sukar untuk dijumpai selain sungai yang bersih serta keadaanya yang bersih. 

“Berada Jeti Santaba Kampung Patiambun seolah-olah kita berada di Vietnam. Menariknya di sini, kawasan besar dan bersih serta cantik. 

“Selain itu, adanya produk lain lagi selain daripada di sungai ini dengan pada waktu malam ada kelip-kelip,” ujarnya. 

Sementara itu, beberapa penduduk yang ditemui menzahirkan rasa terima kasih kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) bersama Menterinya Dato’ Sri Nancy yang melawat Kampung Patiambun, Limbang. 

Penghulu Kampung Patiambun Penghulu Sahat Bagol yang mewakili penduduk kampung menzahirkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan khususnya Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia yang datang Melawat ke kampung ini. 

“Saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia di atas lawatan kerja ke Kampung Patiambun ini yang sekaligus dapat mempromosikan aktiviti pelancongan di kawasan ini,” katanya. 

Bagi penjawat awam Rose Ahmad, 56 tahun yang berasal Kampung Patiambun, Limbang menyifatkan kehadiran Dato’ Sri Nancy ke Limbang memberikan sinar baharu dalam mempromosikan tempat menarik yang boleh dikunjungi pelancong dari dalam dan luar negara. 

“Saya melahirkan rasa syukur di atas kehadiran Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia yang dapat melihat apa yang ada di Limbang sehingga boleh menarik kedatangan pelancong dari seluruh negara bagi menikmati keindahan alam semula jadi yang ada di Daerah Limbang,” katanya. 

Hadir sama Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia merangakap Ahli Parlimen Limbang Datuk Hasbi Habibollah, Menteri Muda Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Tanah Adat merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, ADUN Batu Danau Paulus Palu Gumbang, Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia Dato’ Dr Noor Zari Hamat dan Walikota Majlis Daerah Limbang Kaunselor Sufian Mohat. -EDISI UKAS

Share

add comment