Kerajaan Sarawak Bantu Jabatan Imigresen Wujud Blok Tambahan Di Depot Imigresen Semuja

ISNIN, 22 MAC 2021

SERIAN : Kerajaan Sarawak akan membantu Jabatan Imigresen mewujudkan blok tambahan di Depot Imigresen Semuja bagi mengurangkan kesesakan tahanan di pusat berkenaan.

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, langkah itu bagi mengurangkan kesan jangkitan COVID-19 susulan peningkatan mendadak kes positif di pusat tahanan berkenaan baru-baru ini.

Menurut beliau, kerajaan negeri juga akan membantu dari aspek pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) di pusat tahanan itu.

“Maka hari ini saya telah bersetuju untuk melaksanakan tambahan blok agar dapat menempatkan 10 orang dalam satu tempat, Jika sebelum ini terpaksa menempatkan 20 orang dalam satu tempat dimana tiada penjarakan sosial, maka kita akan kurangkan jumlah agar dapat mengekang penularan wabak ini sekaligus mematuhi SOP,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan kunjungan di Depot Imigresen Semuja pada Isnin.

Dalam pada itu, beliau menambah, kelemahan pada SOP ujian RT-PCR dipercayai menjadi punca peningkatan mendadak kes positif di pusat tahanan itu baru-baru ini.

“Mungkin ada kelemahan SOP dari sudut tidak menjalani ujian RT-PCR mengikut prosedur yang ditetapkan. Oleh kerana kebiasaannya, setiap tahanan harus menjalani ujian RT-PCR di suatu tempat dan seterusnya dibawa ke pusat tahanan.”

“Perkara kedua pula, mungkin dari sudut penempatan yang menempatkan tahanan dengan jumlah yang ramai.” tambahnya lagi.

Turut serta dalam lawatan itu adalah Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Menteri Pendidikan, Sains, Penyelidikan Teknologi Sarawak, Datuk Amar Micheal Manyin Jawong, Menteri Kerajaan Tempatan Dan Perumahan Sarawak, Dato Sri Dr Sim Kui Hian, Duta Khas Perdana Menteri Malaysia Ke Asia Timur yang juga Ahli Parlimen Serian, Dato Sri Richard Riot Jaem, Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Datuk Amar Jaul Samion, Setiausaha Persekutuan Sarawak, Datuk Md Shahabuddin Omar, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Semuja John Ilus, Pesuruhjaya Polis Sarawak, Dato’ Aidi Ismail, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak (Transformasi Luar Bandar) Datu Ik Pahon Joyik, Pengarah Kesihatan Negeri Sarawak, Dr Chin Zin Hing, Pengarah Imigresen Sarawak, Datu Ken Leben dan Pengarah Penjara Sarawak, Timbalan Komisioner Mohamad Rosidek Musa. – EDISI UKAS

Share

add comment