Kerajaan Sarawak Peruntuk Lebih RM9 Juta Bantuan Makanan Kepada Penduduk Di Kawasan PKPD

ISNIN, 22 MAC 2021

KUCHING: Kerajaan Sarawak telah memperuntukan lebih RM9 juta bagi menyediakan bantuan makanan kepada penduduk yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di negeri ini.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Kelurga dan Pembangunan Kanak-Kanak Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, bantuan tersebut telah diberikan kepada 580 buah kawasan PKPD di seluruh bahagian kecuali Limbang.

“Bantuan ini melibatkan 139,797 pek makanan yang diberikan kepada penduduk di kawasan PKPD yang diagihkan seramai 6,832 orang petugas daripada pelbagai agensi berkaitan ,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas melakukan tinjauan ke Bilik Gerakan PKPD Kampung Bintawa di Kuching pada Isnin.

Dalam pada itu, Dato Sri Fatimah juga berkata, penguatkuasaan PKPD turut menggunakan khidmat pasukan Marin bagi memastikan tiada penduduk yang keluar tanpa kebenaran dan alasan kukuh.

“Kita mendapati ada penduduk di kawasan PKPD cuba keluar termasuk menggunakan laluan sungai.

“Pekara ini sering belaku di mana-mana kawasan PKPD.

“Oleh itu, kita bekerjasama dengan polis Marin untuk memastikan penduduk terus mematuhi peraturan dalam usaha kita mengekang penularan COVID-19,” tambahnya. -EDISI UKAS

Share

add comment