Pengagihan Bantuan Bekalan Makanan Ehsan Kepada 54 Keluarga

ISNIN, 22 MAC 2021

KOTA SAMARAHAN: Sebanyak 54 buah keluarga di Kampung Melayu dan Kampung Empila di Daerah Samarahan menerima bantuan bekalan makanan ehsan daripada Ahli Parlimen Kota Samarahan, Rubiah Wang pada Isnin.

Rubiah Wang turut mengingatkan orang ramai khususnya di Daerah Samarahan supaya kekal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan garis panduan yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan pihak berkuasa lain.

Menurutnya, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Samarahan (JPBBS) memerlukan kerjasama warga setempat bagi memastikan rantaian jangkitan wabak COVID-19 dapat diputuskan.

“Setelah mengambil kira pandangan daripada pelbagai pihak, JPBBS bersetuju bahawa pengesanan kes secara aktif (ACD) di kawasan yang berisiko dan mempunyai kadar jangkitan yang tinggi dilaksanakan segera supaya penularan wabak ini dapat dikawal dengan baik,” katanya.

Rubiah Wang turut berharap agar Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) di Samarahan untuk sentiasa berwaspada serta memantau keadaan semasa di kampung masing-masing.

“Perlu ingat, masyarakat perlu kekal mematuhi pembudayaan norma baharu khususnya dalam majlis keramaian seperti upacara pengebumian, perkahwinan dan majlis sosial yang lain,” katanya lagi.

Daerah Samarahan kembali sebagai zon merah selepas merekodkan 48 kes positif COVID-19 dalam tempoh 14 hari. -EDISI UKAS

Share

add comment