RM11.78 Juta Untuk Bangun Projek Padi Tanjung Purun

ISNIN, 22 MAC 2021

KUCHING: Sebanyak RM11.78 juta telah dibelanjakan untuk membangunkan projek penanaman padi Tanjung Purun di Kampung Stunggang Melayu Lama di Lundu sejak 2017.

Jumlah tersebut termasuk RM7.3 juta untuk membina dan menaik taraf infrastruktur saliran dan pengairan serta kerja-kerja yang berkaitan.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah telah melakukan lawatan ke projek seluas 88 hektar itu pada Ahad.

Beliau turut ditemani Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Datu, Datin Patinggi Datuk Amar Jamilah Anu, Setiausaha Tetap Kementerian Pertanian Moden, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Edwin Abit dan Pengarah Jabatan Pertanian Dr. Alvin Chai.

Pegawai Pertanian Bahagian Kuching, Chong Mui Sia yang turut hadir memberitahu, Datuk Amar Uggah telah mengarahkan jabatan mereka untuk menggunakan sistem pengurusan yang komprehensif dalam usaha menggandakan hasil pada tahun ini.

“Dengan ini kita menjangkakan untuk mendapat hasil tuaian sebanyak tujuh tan per hektar.

“Purata untuk tuaian negara adalah lapan tan per hektar,” ujarnya.

Dalam pada itu, terdapat 10 variasi padi ditanam untuk projek tersebut termasuk Merah, Pandan, Retih, Pulut Cina, Pulut Hitam, MR 219, MR 263, MRQ 76, Black Berry dan Lombok.

Pada tahun 2019, purata hasil tuaian adalah 4,037 kilogram untuk satu hektar dengan 75 hektar telah diusahakan yang melibatkan 92 orang petani.

Tahun lepas, keluasan projek betambah kepada 88 hektar dengan 96 peserta.-EDISI UKAS

Share

add comment