SUFC Ikat Penyu Tanpa Jaringan, Kekal Rekod Tanpa Kalah

ISNIN, 22 MAC 2021

KUCHING: Sarawak United FC (SUFC) mengekalkan rekod tanpa kalah dalam kempen Liga Premier 2021 selepas terikat tanpa jaringan menentang Terengganu FC II di Stadium Hang Jebat, Melaka malam tadi.

Keputusan itu masih mengekalkan skuad itu di tangga kedua liga dengan 10 mata selepas empat perlawanan, tiga mata di belakang pendahulu, Negeri Sembilan.

Menurut Ketua Jurulatih, Elavarasan Elangowan, penyudah yang tumpul selain tentangan sengit disajikan pemain-pemain skuad Penyu menyekat usaha mereka untuk memburu gol sepanjang 90 minit permainan.

“Terengganu bermain dengan lebih kemas, persefahaman antara pemain bagus. Kita sukar nak masuk dalam kawasan mereka.

“Pada separuh masa kedua, kita membuat beberapa pertukaran, baru pasukan sedikit seimbang dan melakukan gerakan-gerakan baik. Hanya penyudah yang kurang menjadi,” katanya ketika ditemuramah selepas perlawanan tamat.

Jela Elavarasan, beliau akan melakukan rombakan terhadap skuadnya sebagai persiapan menentang Kelantan FC pada 3 April di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu. – EDISI UKAS

Share

add comment