Tarik Lebih Ramai Penyertaan Dalam Pertandingan Antarabangsa Bot Kawalan Jauh Pada Masa Akan Datang

ISNIN, 22 MAC 2021

LIMBANG: Pertandingan bot kawalan jauh yang merupakan kejohanan tahunan yang diadakan di Daerah Limbang boleh diperluaskan penyertaannya bagi menarik minat lebih ramai peserta dari dalam dan luar negara. 

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia Dato Sri Nancy Shukri berkata, pihaknya akan memperhalusi dan meneliti permohonan yang dikemukakan oleh wakil rakyat tempatan untuk menaik taraf dan mengetengahkan lagi sukan ini di peringkat antarabangsa.

“Ianya memang merupakan satu produk yang boleh menarik minat yang mempunyai kegemaran yang dipanggil ‘hobby tourism’ yang mana mereka mempunyai minat dan boleh menarik penyertaan ramai pihak dari dalam dan luar negara.

“Kita mengharapkan apabila sempadan negara dibuka ianya akan menarik lebih ramai kehadiran pelancong datang ke negara kita.

“MOTAC akan berusaha melakukan yang terbaik dan melihat potensi yang ada bagi menjadikan sukan ini sebagai daya penarik pelancong di peringkat antabangsa khususnya bagi mereka yang minat menceburkan diri dalam bidang sukan tertentu seperti bot kawalan jauh,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa berucap semasa merasmikan Pertandingan Antarabangsa Bot Kawalan Jauh di Loagan Langgari, Kampung Tanjong Limbang pada Sabtu. 

Dalam perkembangan sama, mengulas lanjut pertandingan ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau Paulus Palu Gumbang menjelaskan pertandingan ini dianjurkan Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) Cawangan Batu Danau dan akan diperluaskan di peringkat Asia Tenggara pada masa akan datang. 

“Di masa akan datang, pertandingan bot kawalan jauh akan diperluaskan di peringkat ASEAN iaitu dengan penyertaan dari negara Brunei Darussalam, Thailand dan Indonesia supaya lebih ramai dapat menyertainya,” katanya. 

Pada pertandingan ini seramai 280 penyertaan telah diterima daripada peminat-peminat bot kawalan jauh. 

Hadir sama Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia merangakap Ahli Parlimen Limbang Datuk Hasbi Habibollah, Timbalan Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Tanah Adat merangkap ADUN Bukit Kota Datuk Abdul Rahman Ismail, Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia Dato’ Dr Noor Zari Hamat, Walikota Majlis Daerah Limbang Kaunselor Sufian Mohat dan Ketua Masyarakat Bisaya Pemanca Jun Silah. -EDISI UKAS

Share

add comment