Terokai Ekopelancongan, Jadikan Sebagai Produk Pelancongan Diminati Pelancong

ISNIN, 22 MAC 2021

LIMBANG: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) akan berkongsi pengalaman dalam membantu mempromosikan produk pelancongan.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia Dato’ Sri Nancy Shukri berkata, MOTAC akan membantu mempromosikan produk-produk pelancongan dengan memberikan pandangan bagaimana sesebuah tempat itu boleh dibangunkan dari segi produk pelancongannya.

“Saya juga mengharapkan kita mempunyai banyak produk ekopelancongan seperti ada air terjun misalnya yang mungkin belum diterokai lagi di sini maka perlulah dilihat dari sudut tersebut dan kolaborasi dengan agensi-agensi lain seperti Sarawak Forestry Corporation (SFC) dan yang lain-lain perlu juga dibuat agar sama-sama memainkan peranan.

“Dalam perjalanan ke sini saya difahamkan ada buaya di kawasan ini, buaya juga boleh menjadi produk pelancongan kerana ada orang yang berminat ingin melihatnya, jadi memikirkannya bagaimana kita mahu menjadikannya sebagai satu produk,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa ditemui selepas meninjau Potensi Pelancongan Limbang River Cruise di Sungai Limbang Kampung Limpaku Pinang pada Sabtu. 

Dalam pada itu, Dato’ Sri Nancy tertarik dengan adanya sebuah kampung nelayan yang boleh dijadikan sebagai produk pelancongan dan pada masa yang sama kita turut membantu menjual produk penduduk di sini. 

“Orang tidak pernah datang ke mari tapi ianya perlu disampaikan dan boleh datang pada hari apa dan jam berapa untuk orang datang ke sini, jadi orang akan datang. 

“Dari kampung ini kita boleh menyaksikan sendiri suasana Malaysia dengan Brunei yang berhampiran ini yang mana adat dan budaya kita banyak yang sama walaupun kita berada di lain-lain negara. 

“Jadi, muhibah di antara kedua buah negara ini perlu juga menjadi satu contoh produk pelancongan,” ujarnya. 

Sementara itu, Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia yang juga Ahli Parlimen Limbang Datuk Hasbi Habibollah sewaktu ditemui media berkata Kerajaan Sarawak telah merancang untuk membina jalan raya ke Kampung Limpaku Pinang dan Kampung Belantak yang mana akan dihubungkan dari Jambatan Sungai Limbang Kedua.

“Sebanyak RM6 juta telah diluluskan oleh Kerajaan Sarawak di bawah Projek Rakyat untuk membina masjid terapung di Kampung Limpaku Pinang.

“Ianya boleh menjadi salah satu tarikan pelancong di kampung tersebut,” katanya. 

Dalam lawatan itu, rombongan MOTAC telah dibawa singgah melihat sendiri suasana Kampung Limpaku Pinang yang berada di atas air dan sebuah sekolah rendah di situ.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau Paulus Palu Gumbang, Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia Dato’ Dr Noor Zari Hamat dan Walikota Majlis Daerah Limbang Kaunselor Sufian Mohat. -EDISI UKAS

Share

add comment