Tubuh Jawatankuasa Dan Lantik Syarikat Untuk Memasarkan Produk Tempatan Daerah Limbang Terpilih Ke Luar Negeri

ISNIN, 22 MAC 2021

LIMBANG: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) akan melihat bantuan yang diperlukan bagi mempertingkatkan kemudahan dan memperluaskan serta memasarkan produk tempatan Daerah Limbang ke luar negeri.

Sehubungan itu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia Dato’ Sri Nancy Shukri mencadangkan agar satu jawatankuasa ditubuhkan untuk melantik beberapa syarikat yang mampu untuk memaju serta memasarkan produk-produk yang terpilih ke luar negeri.

“Cadangan ini telah dilaksanakan di Parlimen Samarahan dan ianya telah terbukti bejaya untuk disebarluaskan ke daerah-daerah lain di Sarawak agar ianya dapat menjadi kayu pengukur terhadap produk-produk yang berdaya saing.

“Untuk itu, saya akan berbincang dengan Ahli Parlimen Limbang Datuk Hasbi Habibollah dan Walikota Majlis Daerah Limbang untuk melihat produk, kawasan dan kaedah yang terbaik untuk dimajukan pada masa akan datang,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa berucap sempena lawatan ke Kampung Seberang Kedai, Limbang pada Jumaat. 

Sementara itu, Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia merangkap Ahli Parlimen Limbang Datuk Hasbi Habibollah sempat menceritakan sejarah Kampung Seberang Kedai yang mempunyai kaitan dengan Negara Brunei Darussalam.

“Dahulunya juga Kampung Seberang Kedai ini adalah diantara kampung transit untuk ke negara jiran Brunei Darussalam melalui Jalan Bukit Lubok ke Kampung Limau Manis di Brunei kerana kedua-dua belah daerah kebanyakkan adalah bersaudara. 

“Satu lagi jalan alternatif adalah mengunakan bot dari Limbang ke Brunei yang hanya mengambil masa lebih kurang 10 ke 15 minit. Dan untuk ke Daerah Temburong melalui sungai Rampai  juga menggunakan bot.

“Sebab itulah negara Brunei ini bukanlah negara yang asing bagi penduduk di Limbang kerana kebanyakkannya ada kaitan bersaudara iaitu adik-beradik ibu atau ayah, nenek atau datuk dan kaitan-kaitan yang lainnya,” katanya. 

Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia Dato’ Dr Noor Zari Hamat, Wakil Residen Bahagian Limbang Cherylynna Leeza Roland, Walikota Majlis Daerah Limbang Kaunselor Sufian Mohat dan Ketua Kampung Seberang Kedai Mohamad Abu Bakar. -EDISI UKAS

Share

add comment