Wakil Rakyat Serta Ketua Jabatan Di Sri Aman Terima Suntikan Dos Kedua

ISNIN, 22 MAC 2021

SRI AMAN: Beberapa orang wakil rakyat kerajaan negeri dan ketua jabatan di Bahagian Sri Aman menerima suntikan dos kedua vaksin COVID-19 pada Isnin.

Antaranya ialah Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti Sarawak merangkap ADUN Simanggang, Datuk Francis Harden Hollis, Menteri Muda Belia Dan Sukan Sarawak merangkap ADUN Balai Ringin, Datuk Snowdan Lawan, ADUN Bukit Begunan, Datuk Mong Dagang, Residen Bahagian Sri Aman Indit Bangai dan Timbalannya, Elvis Didit.

Pengambilan dos kedua merupakan ketetapan yang telah dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi vaksin keluaran Pfizer Biontech.

Pemberian vaksin kedua diambil setelah 21 hari dari dos pertama diperoleh bagi melengkapkan ketahanan daya tahan tubuh badan melawan virus COVID-19.

Suntikan vaksin bagi kumpulan pertama ini adalah melibatkan petugas barisan hadapan dan agensi sokongan kepada pasukan berkenaan.

Bagi program kumpulan kedua pula dijangka bermula pada April 2021 melibatkan orang awam dan kumpulan golongan sasar.

Untuk rekod, seramai 1,694 orang individu telah menerima suntikan dos pertama di bahagian berkenaan dengan 562 orang telah menerima dos kali kedua. -EDISI UKAS

Share

add comment