ADUN Tellian Antara 1134 Penerima Suntikan Dos Kedua COVID-19 Di Mukah

SELASA, 23 MAC 2021

MUKAH: Seramai 1134 petugas barisan hadapan termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Yussibnosh Balo melengkapkan suntikan dos kedua vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech yang diadakan dari 19 hingga 22 Mac di Hospital Mukah.

Pecahan jumlah penerima suntikan sepanjang empat hari program tersebut adalah Klinik kesihatan Ibu dan Anak Mukah (372), Hospital Mukah (282), Hospital Dalat (96) dan Hospital Daro (384).

Yussibnosh ketika ditemubual UKAS selepas menerima suntikan itu pada Isnin berkata sekali lagi menyeru masyarakat di negeri Sarawak untuk mendaftar dengan MySejahtera ataupun melalui borang yang telah pun diedarkan untuk menerima vaksin demi kesejahteraan semua.

Katanya, vaksin yang diterima dari hospital amat besar maknanya dan kepentingannya dalam memutuskan rantaian pandemik COVID-19.

Selepas menerima suntikan dos kedua, Yussibnosh mengemas kini aplikasi MySejahtera untuk menunjukkan beliau telah melengkapi dos pengambilan Vaksin COVID-19.

Sebelumnya, Yussibnosh menerima suntikan dos yang pertama pada 1 Mac 2021 juga di Hospital Mukah. – EDISI UKAS

Share

add comment