Harapan Tinggi Skuad Tinju Sarawak Buru Emas SUKMA 2022

SELASA, 23 MAC 2021

KUCHING: Kementerian Belia dan Sukan Sarawak menaruh harapan tinggi terhadap skuad tinju negeri untuk menghadiahkan pingat emas kepada Sarawak pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2022 di Johor.

Menurut Menteri Muda Belia dan Sukan, Datuk Snowdan Lawan, petinju Sarawak perlu memanfaat sepenuhnya penundaan SUKMA ke tahun depan ekoran penularan pandemik COVID-19 untuk membuat persiapan secukupnya.

“SUKMA sepatutnya pada tahun lepas namun ditunda. Pada tahun ini juga dibatalkan dan ditunda lagi ke tahun depan 2022.

“Jadi kita mempunyai lebih 10 bulan untuk membuat persediaan. Saya harap kita semua dalam kondisi yang baik. Paling penting cuba elak dari mengalami kecederaan,” katanya berucap semasa menghadiri majlis apresiasi Persatuan Tinju Negeri Sarawak (SABA) di Kuching pada Isnin.

Katanya, persatuan itu meletakkan sasaran dua pingat emas pada SUKMA Johor, misi yang dilihatnya tidak mustahil untuk dicapai.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan petinju Sarawak untuk tidak terlalu selesa dan terus menjalani latihan untuk memastikan mereka kekal berada pada tahap yang terbaik.

“Kita jangan terlalu selesa dan mesti tahu kekuatan petinju-petinju dari negeri-negeri lain juga. Kita mesti kekal kompetitif.

“Kita sedar ketika ini program latihan agak terjejas akibat COVID-19 namun ia mesti diteruskan dari masa ke semasa,” tambah Datuk Snowdan lagi.

Terdahulu dalam ucapannya, Presiden SABA, Dato Rahman Lariwoo mahu petinju Sarawak meningkatkan keupayaan masing-masing untuk merebut slot dalam skuad negara.

Ini kerana katanya jurulatih baru negara dari Uzbekistan akan sentiasa memantau prestasi petinju-petinju dari seluruh negara untuk diserap dalam skuad kebangsaan.

“Jurulatih baru itu akan menilai petinju-petinju dalam setiap perlawanan untuk mewakili Malaysia.

“Harapan kita dengan kehadiran jurulatih baru ini akan memberi ruang kepada petinju kita di Sarawak mewakili negara kelak,” katanya.

Pada majlis itu, petinju Sarawak menerima insentif dari SABA yang disampaikan oleh Datuk Snowdan.

Barisan petinju SUKMA Sarawak ialah Jackson Chambai (49kg), Mohd Syawal (52kg), Wilson Brayin (56kg), Daeloniel Mcdelon Bong (60kg), Mohd Jamani Abdullah (64kg), Christyuden Ripoh (69kg), Mohd Helmi Cheng (75kg), Rais Arsyad (81kg) dan Hillary Hendry (91kg).

Mereka dilatih Muhammad Helman Morni, Sapok Biki dan Wilbur Buag Andogan. – EDISI UKAS

Share

add comment