Jambatan Batang Lupar Bakal Jadi Jambatan Terpanjang Di Malaysia

SELASA, 23 MAC 2021

SEBUYAU : Jambatan Batang Lupar sepanjang tujuh kilometer bakal menjadi jambatan sungai terpanjang di Malaysia.

Menurut Menteri Muda Infrastruktur Dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Julaihi Narawi, jambatan yang terletak di lokasi strategik melalui laluan jalan pesisir akan diguna oleh semua pengguna dari seluruh negeri dan bakal menjadi simbol ikonik negeri Sarawak.

 “Oleh kerana Jambatan Batang Lupar adalah yang terpanjang merentasi sungai di Sarawak malah terpanjang merentasi sungai di Malaysia, boleh kita katakan jambatan ini dikategorikan sebagai Raja Jambatan (King of the Bridges) di Sarawak dan juga di Malaysia.” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Pecah Tanah Jambatan Batang Lupar Sebuyau pada Selasa.

Mengulas lanjut, Ahli Dewan Undangan Negeri Sebuyau itu berkata, selain membina jambatan, pembinaan jalan pesisir sepanjang 896 kilometer dari selatan ke utara Sarawak dan pembinaan jalan utama kedua akan memberi manfaat serta potensi besar untuk pembangunan di kawasan tersebut. 

“Jalan pesisir dan jalan utama kedua dibina akan melalui jalan laluan ke kawasan Sebuyau. Justeru kawasan Sebuyau ini akan dikelilingi jalan raya utama dan oleh itu juga kita nampak kawasan Sebuyau mempunyai potensi yang besar untuk membangun di masa akan datang.”tambahnya lagi. –EDISI UKAS

Share

add comment