Jambatan Batang Lupar Penghubung Penduduk Kawasan Pesisir Sarawak

SELASA, 23 MAC 2021

SEBUYAU: Pembangunan infrastruktur seperti projek pembinaan Jambatan Batang Lupar akan memberi manfaat besar kepada rakyat di negeri ini.

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, jambatan itu akan menghubungkan semua  penduduk di kawasan pesisir Sarawak.

Tambah Ketua Menteri lagi, pembangunan infrastruktur itu akan membuka kawasan baru dan memberi peluang untuk pembangunan sektor pertanian disitu.

“Kita dapat membuka kawasan baru dan pembangunan sosioekonomi seperti menanam nanas dan jagung dapat dipasarkan dengan adanya jaringan perhubungan,”katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Pecah Tanah Jambatan Batang Lupar, Sebuyau pada Selasa.

Dalam perkembangan lain, Datuk Patinggi Abang Zohari dalam sidang media selepas menyempurnakan majlis pecah tanah Jambatan Batang Lupar memberitahu, pihak Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) telah memaklumkan kepadanya pada Isnin mengenai penemuan terbaru dua lokasi gas dan minyak di perairan Sarawak.  

“Jika demikian, berdasarkan Perjanjian Penyelesaian Komersial (CSA), kita akan melakukan peranan kita dalam mengembangkan kawasan-kawasan ini melalui Petros (Petroleum Sarawak).

“Apa yang kami lakukan adalah berdasarkan hak kami dalam Perlembagaan,”ujar beliau lagi.

Tambahnya, PETRONAS akan mengeluarkan pernyataan mereka sendiri mengenai perincian penemuan tersebut.-EDISI UKAS

Share

add comment