MOTAC Ambil Langkah Proaktif Akan Bantu Usahawan Daerah Limbang Pasarkan Produk Ke Luar Negeri

SELASA, 23 MAC 2021

LIMBANG: Lawatan selama 4 hari 3 malam ke Daerah Limbang amat besar ertinya kepada Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) dalam usaha membantu mempromosikan tempat dan produk menarik yang ada di Limbang.

Menurut Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia Dato’ Sri Nancy Shukri, pihaknya berbesar hati kerana sepanjang berada di Daerah Limbang telah dilayan dan disajikan dengan pelbagai makanan tradisi masyarakat Limbang. 

“Bagi pihak MOTAC, bersama dengan rombongan yang terdiri daripada Ketua Setiausaha Kementerian dan semua pengarah akan membincang, merancang dan meluluskan beberapa projek yang mampu berdaya saing untuk dijadikan ekopelancongan dan membantu para peniaga kecil dan sederhana untuk memasarkan produk-produk mereka ke luar negeri.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Makan Malam Perpisahan Sempena Lawatan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia ke Limbang di Jejantas Segi Tiga Limbang pada Sabtu. 

Sementara itu, bagi Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia merangkap Ahli Parlimen Limbang Datuk Hasbi Habibollah, berharap projek-projek pembangunan yang telah dan sedang dilaksanakan akan berjaya membangunkan Daerah Limbang ke arah yang lebih baik. 

“Projek-projek yang sedang berjalan akan mampu untuk membawa Limbang ke satu tahap pembangunan yang orang ramai akan sering sebut-sebut atau menjadi bualan di seantero dunia.

“Dengan pemberian vaksin yang sedang berjalan ketika ini, beliau juga yakin negara akan pulih dan mampu menyekat penyebaran COVID-19 dan negara akan kembali pulih untuk menjalankan ‘business as usual’,” katanya. 

Hadir sama Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Sari Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, ADUN Batu Danau Paulus Palu Gumbang, Ketua Setiausaha MOTAC Dato’ Dr Noor Zari Hamat, Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Ibrahim Ismail, Timbalan Ketua Pengarah Tourism Malaysia Dato’ Zainuddin Abdul Wahab, Timbalan Residen Bahagian Limbang Sebi Abang dan Walikota Majlis Daerah Limbang Kaunselor Sufian Mohat. -EDISI UKAS

Share

add comment