Naiktaraf Jalan Bakal Akhiri Masalah Banjir Rumah Janggu, Rumah Takan

SELASA, 23 MAC 2021

BINTANGOR: Masalah banjir yang sering membelenggu jalan utama di Rumah Janggu dan Rumah Takan, Sungai Belapong Bintangor bakal berakhir apabila jalan tersebut selesai dinaik taraf.

Projek di bawah Program Jalan Perhubungan Desa (JPD) Tahun 2021 itu menelan kos sebanyak RM413,200 dan panjang jalan yang akan dinaiktaraf adalah 400 meter.

Semasa menyerahkan tapak pelaksanaan projek itu pada Selasa, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing menyeru penduduk rumah panjang untuk memberi kerjasama kepada kontraktor Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) Bahagian Sarikei apabila kerja-kerja menaik taraf dilaksanakan.

Beliau dalam pada itu berterima kasih kepada Kerajaan Sarawak melalui DID Bahagian Sarikei kerana telah meluluskan Projek JPD itu.

Sementara itu, Datuk Ding turut melawat tapak Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) untuk menaik taraf prasarana Rumah Banggie dan Rumah Rendu, Skim B Meradong.

Katanya, pelaksanaan Projek RTP itu akan dijalankan secara berperingkat mengikut dana yang telah diluluskan dan kontraktor akan dilantik melalui agensi pelaksana dengan cabutan undi.

Tambahnya, projek RTP akan dilaksanakan secara berterusan jika Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) terus mendapat sokongan rakyat.

Dalam pada itu, penduduk Rumah Panjang Banggie dan Rendu berasa amat gembira dan berterima kasih kepada Kerajaan Sarawak terutama ADUN Meradong kerana telah meluluskan pelaksanaan Projek RTP di kediaman mereka. – EDISI UKAS

Share

add comment