Pekebun Di Bukit Semuja Kekal Bersemangat Meskipun Berdepan Cabaran Wabak COVID-19

SELASA, 23 MAC 2021

SERIAN: Para pekebun di kawasan Bukit Semuja perlu sentiasa kekal positif dan tidak berputus asa meskipun negara sedang berdepan dengan situasi yang mencabar akibat wabak COVID-19.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Semuja, John Ilus berkata, pihak kerajaan sentiasa membantu dalam apa juga situasi bagi mengurangkan beban golongan pekebun yang terjejas.

Menarik perhatian katanya, pekebun tembikai di Kampung Kemayau tetap bersemangat dalam mengusahakan tanaman mereka sehingga mengeluarkan hasil yang banyak.

“Saya tertarik melihat kebun tembikai yang diusahakan oleh Liew Chin Wei dan Pau Sing Lung secara usahasama sejak tiga bulan lalu.

“Kebun tembikai seluas lebih kurang 30 ekar ini diusahakan oleh kedua-dua pekebun ini dengan modal sendiri telah mendatangkan hasil tembikai yang cukup memberangsangkan,” katanya ketika ditemui Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) pada Selasa.

Dalam pada itu, John Ilus memberitahu, beliau akan menambah jumlah bilangan projek dalam senarai Projek Kecil Luar Bandar (RTP) 2021.

Sementara itu, ketika ditemubual UKAS, pengusaha kebun tembikai memaklumkan mereka menghantar hasil buah yang dituai ke pasar raya di sekitar Serian dan Kuching. -EDISI UKAS

Share

add comment