PPKK Ditubuhkan Di Daerah Limbang Untuk Memperkasa Komuniti Kraf Dan Menjana Pendapatan

SELASA, 23 MAC 2021

LAWAS: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) menerusi Kraftangan Malaysia kini giat melaksanakan pelbagai program dalam usaha membantu usahawan kraf tempatan di bawah teras pertama Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA). 

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia Dato’ Sri Nancy Shukri berkata, untuk itu, MOTAC datang ke Daerah Limbang adalah untuk membantu menubuhkan apa yang dinamakan Program Pembangunan Kemahiran Komuniti Kraf.

Program Pembangunan Kemahiran Komuniti (PPKK) yang dilaksanakan di bawah Inisiatif Pembangunan Kemahiran Dan Peningkatan Kemahiran merupakan usaha dalam membangun dan memperkasa komuniti kraf bagi melibatkan diri secara langsung dalam perusahaan kraf untuk menjana pendapatan utama atau sampingan. 

“Pelaksanaan program ini merupakan hasrat kerajaan dalam usaha membantu kumpulan sasar iaitu Belia-Beliawanis, Asnaf, Golongan B40 (bandar dan desa), Masyarakat Orang Asli, Etnik Sabah, Etnik Sarawak, Kumpulan Rentan (Ibu Tunggal, Orang Kurang Upaya dan Warga Emas) serta penganggur,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Penutupan dan Penyampaian Sijil Program Pembangunan Kemahiran Komuniti Kraf Parang di bawah Inisiatif PENJANA anjuran Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia di Dewan Kampung Patiambun pada Sabtu. 

Program Pembangunan Kemahiran Komuniti ini memfokuskan 4 inisiatif iaitu; pembangunan produk, pembangunan pengeluaran, pembangunan kemahiran teknikal dan digital serta pasaran dan promosi.

Katanya lagi, pada tahun 2020, bermula September hingga Disember sebanyak 15 aktiviti program pembangunan kemahiran komuniti kraf telah diadakan di beberapa daerah di Sarawak dengan penyertaan seramai 300 orang peserta. 

Manakala, sebanyak 31 aktiviti program pembangunan kemahiran komuniti kraf di Sarawak akan diadakan sepanjang tahun 2021 ini. 

Mengulas mengenai Program Pembangunan Kemahiran Komuniti Kraf Parang, Dato’ Sri Nancy mengucapkan tahniah kepada Kraftangan Malaysia di atas penganjuran Program Pembangunan Kemahiran Komuniti Kraf dan peserta yang mengikuti kemahiran ini. 

“Diharapkan agar peserta yang dilatih ini dapat mengaplikasikan kemahiran yang dipelajari dan mewujudkan lebih ramai komuniti kraf baharu yang mengusahakan pengeluaran kraf tempatan terutamanya produk parang secara sepenuh masa atau sampingan. 

“Ini sekaligus dapat membantu meningkatkan pendapatan isi rumah,” ujarnya lagi. 

Makmal Program Pembangunan Kemahiran Komuniti Kraf Parang yang telah berlangsung selama 4 hari bermula pada 16 hingga 19 Mac 2021 di Dewan Kampung Patiambun, Limbang berjaya melibatkan seramai 18 orang peserta dari 2 daerah iaitu 12 orang peserta dari Limbang dan 6 orang peserta dari Lawas.

Hadir sama Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia merangkap Ahli Parlimen Limbang Datuk Hasbi Habibollah, Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, ADUN Batu Danau  Paulus Palu Gumbang, Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) Dato’ Dr Noor Zari Hamat,Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia Ibrahim Ismail, Timbalan Ketua Pengarah Tourism Malaysia Dato’ Zainuddin Abdul Wahab, Walikota Majlis Daerah Limbang Kaunselor Sufian Mohat dan Pengarah Kraftangan Malaysia Cawangan Sarawak Azran Arip. -EDISI UKAS

Share

add comment