Projek Bekalan Air Samariang Dijangka Siap Penghujung Tahun Ini

SELASA, 23 MAC 2021

KUCHING : Projek Bekalan Air Samariang (Fasa 1) Bahagian Kuching bernilai sekitar RM85 juta telah dirancang bagi menampung permintaan bekalan air yang semakin meningkat di kawasan Samariang dan sekitarnya sehingga tahun 2030.

Menurut Menteri Muda Utiliti (Bekalan Air), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, projek rakyat yang sedang dalam peringkat pembinaan ini dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Sarawak melalui Kementerian Utiliti dan Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) sebagai agensi pelaksana, dan dijangka siap sepenuhnya penghujung tahun 2021.

Skop projek merangkumi kerja-kerja seperti pembinaan stesen pam penggalak berkapasiti 50 juta liter sehari, pembinaan 3 buah tangki air aras tinggi dengan jumlah kapasiti 12 juta liter, pemasangan saluran paip sepanjang 13km dari persimpangan Jalan Matang – Batu Kawa melalui jalan baharu Federal Administrative Center (FAC) ke stesen pam penggalak baharu, pemasangan saluran paip sepanjang 3km dari stesen pam penggalak baharu ke tangki aras tinggi serta pemasangan saluran paip submarin di Sungai Samariang.

Beliau berkata demikian semasa lawatan kerjanya ke tapak projek tersebut bersama Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Undang-Undang, Hubungan Kerajaan Negeri-Persekutuan dan Pemantauan Projek), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali pada Isnin. -EDISI UKAS

Share

add comment