Projek RTP Dan PAMS Terus Bangunkan Kawasan DUN Bukit Kota

SELASA, 23 MAC 2021

LIMBANG: Usaha untuk terus membangunkan kawasan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kota akan terus dipergiatkan menerusi beberapa projek Kerajaan Sarawak dan Persekutuan. 

Menurut Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, misalnya pembinaan jeti konkrit di kawasan rekreasi kampung tersebut di Sungai Kaban sepanjang 200 meter yang menelan kos sebanyak RM250,000 di bawah Projek Ameniti Sosial  (PAMS) Kerajaan Persekutuan. 

“Tempat ini nanti akan menjadi tempat rekreasi penduduk Kampung Malagangai dan sekitarnya, antara aktivitinya seperti memancing dan lain-lain.

“Di Kampung Malagangai juga kita cuba mengenal pasti kawasan untuk mereka membina dewan dan juga gelanggang futsal kerana pada masa ini Kampung Malagangai belum mempunyai kemudahan tersebut disebabkan tiada tapak.

“Jadi, kita telah pun meminta pihak Jabatan Tanah dan Survei untuk mengenal pasti tapak bagi kedua-dua kemudahan tersebut termasuk juga untuk memproses tapak surau sekarang yang telah diwakafkan oleh seorang penduduk kampung untuk serah hak milik kepada Majlis Agama Islam Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai lawatan ke Tapak PAMS dan Tapak Cadangan Pembinaan Dewan dan Gelanggang Futsal Kampung Malagangai pada Isnin. 

Dalam perkembangan lain, Datuk Dr Abdul Rahman yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota yang turut melawat ke Kampung Batu Bakarang bagi meninjau Projek RTP Gelanggang Futsal yang telah dilaksanakan pada tahun 2020. 

“Dengan siapnya gelanggang futsal ini maka lengkaplah kemudahan awam yang diperlukan di Kampung Batu Bakarang seperti surau, dewan dan gelanggang futsal.

“Walau bagaimanapun terdapat permohonan daripada penduduk kampung yang mahu padang mereka dinaik taraf, menaik taraf madrasah dan jalan simen ke rumah-rumah,” ujarnya lagi. 

Sementara itu, projek jalan simen ke rumah-rumah di Kampung Batu Bakarang kini sedang dalam tender dengan kos RM500,000 dan ini juga merupakan peruntukan dari Kerajaan Persekutuan.

Hadir sama Jurutera Bahagian Jabatan Pengairan dan Saliran Bahagian Limbang Anisah Ahmad, Penolong Jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Limbang Mahathir Jokeni, Pegawai Perancang Bandar dan Desa, Jabatan Tanah dan Survei Bahagian Limbang Sylvia Entalang dan Ketua Kampung Malagangai Garip Bakar. -EDISI UKAS

Share

add comment