Sentiasa Patuhi SOP, Demi Keselamatan Diri, Keluarga Dan Masyarakat

SELASA, 23 MAC 2021 

KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni meminta penduduk yang dikenakan perintah kuarantin supaya mematuhi arahan bagi memastikan keselamatan diri, keluarga dan Masyarakat terjamin. 

Katanya, arahan Prosedur Operasi Standard (SOP) dan perintah kuarantin ini penting dalam usaha mengekang penularan wabak pandemik COVID-19. 

“Penduduk yang dikenakan perintah kuarantin di rumah perlu menjaga dan mematuhi SOP ditetapkan. Ini semua untuk kebaikan bersama sama ada diri sendiri, keluarga dan Masyarakat. 

“Ianya boleh dicapai menerusi kerjasama semua pihak dengan disipllin tinggi serta mengikuti setiap arahan yang dikeluarkan kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai agihan sumbangan bantuan kepada 30 keluarga yang dikenakan kuarantin di Kampung Bako Hulu, Kampung Bako Tengah, Kampung Bako Hilir, Kampung Bako Lot, Kampung Bako Mesra, Kampung Tabuan Selipar Putus Cemerlang (SPC) dan Kampung Muhibbah Pending pada Isnin. 

Dalam pada itu, Dr Hazland turut mengingatkan masyarakat khususnya warga Demak Laut supaya mendaftarkan diri untuk mengambil vaksin COVID-19.

“Kerajaan sentiasa mengambil berat kepada kebajikan dan keperluan masyarakat seperti penyertaan dalam Program Vaksinasi COVID-19 yang mahu semua masyarakat menerima vaksin.

“Untuk itu, mereka hanya perlu mendaftarkan diri menerusi Aplikasi MySejahtera dan klinik-klinik kesihatan yang berhampiran untuk mendapatkan vaksin yang dijangka bermula April ini. 

“Pada ketika ini, vaksin COVID-19 hanya diberikan kepada petugas barisan hadapan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan bukan KKM,” ujarnya. 

Justeru, marilah bersama menjayakan Program Vaksinasi COVID-19 untuk keselamatan diri, keluarga dan masyarakat. -EDISI UKAS

Share

add comment