JPBD Bau Laksana Projek Khas Menerusi Dana RM6.3 Juta Yang Diluluskan Ketua Menteri

RABU, 24 MAC 2021

BAU: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Bau melaksanakan Projek Khas di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tasik Biru yang terjejas teruk akibat bencana monsun timur laut yang berlaku pada pertengahan Januari lalu.

Pegawai Daerah Bau, Anielia Siam berkata, Projek Khas di bawah naungan JPBD itu adalah menerusi peruntukan khas yang diluluskan oleh Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg yang sebanyak RM6.3 juta.

Beliau berkata demikian semasa taklimat bagi kerja-kerja baik pulih infrastruktur yang terjejas akibat bencana monsun timur laut Daerah Bau bertempat di Majlis Daerah Bau pada Rabu.

Turut hadir adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru, Dato Henry Harry Jinep dan Setiausaha Majlis Daerah Bau, Simon Wong Hong Yong.

Tambah Anielia, pada 19 Januari lalu, Dato Henry telah melakukan perjumpaan bersama Ketua Menteri di Wisma Bapa Malaysia yang turut dihadiri oleh Pengarah Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan beliau sendiri.

“Perjumpaan disebabkan pada 4 hari sebelum perjumpaan tersebut Daerah Bau sangat terjejas teruk terutamanya kawasan Tasik Biru di mana kawasan-kawasan laluan yang banyak digunakan untuk bukan sahaja oleh penduduk kawasan Tasik Biru tetapi seluruh penduduk daerah Bau dan pengunjung yang menggunakan laluan tersebut.

“Ketika itu kos anggaran yang kita dapat semasa penyemakkan dibuat pada 16 dan 17 Januari lepas bersama agensi-agensi teknikal daerah berjumlah RM13 juta, namun kita memberi perhatian khusus pada lokasi-lokasi yang kritikal yang menjadi laluan utama penduduk.

“Di kawasan Tasik Biru sahaja peruntukkan yang dimohon berjumlah RM6.3 juta semua diluluskan.” katanya.

Katanya lagi, daripada RM6.3 juta tersebut sebanyak RM4.1 juta adalah projek-projek di bawah Jabatan Kerja Raya (JKR) terutamanya laluan jalan di Kampung Grogo yang terjejas teruk yang menyebabkan laluan daripada Bau terputus hubungan.

“Kawasan Kranji yang turut berlaku tanah runtuh dan menyebabkan keseluruhan daerah Bau terputus hubungan dengan kawasan luar telah diuruskan oleh Ibupejabat JKR.

“Manakala di Grogo jumlah yang sangat besar RM4.1 juta dan selebihnya RM2.2 juta adalah di kawasan selenggaraan Majlis Daerah Bau,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Anielia menambah, pemilihan kontraktor tahun ini dibuat awal bersama dengan agensi Teknikal seperti Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB), Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan Dan Saliran (DID), Pejabat Residen dan Majlis Daerah Bau (MDB).

“Semua kontraktor melalui tapisan tahunan dan prestasi kontraktor juga memainkan peranan bukan sahaja untuk projek ini tetapi projek RTP keseluruhan di peringkat bahagian nanti.

“Kita juga diberi satu syarat untuk mendapatkan pengecualian prosedur tender di bawah ‘Letter Of Award’ (LA) untuk Majlis Daerah Bau dan kita juga mendapat kelulusan daripada Pejabat Setiausaha Kewangan Negeri Sarawak untuk memastikan pelaksanaan projek ini di bawah tahap kesegeraan sebab kita menggunapakai prosedur darurat untuk menguruskan proses ini,” tambahnya.

Katanya, sesi pemilihan kerja adalah berdasarkan tahap kelayakan lesen para kontraktor masing-masing dan sesi cabut undi telah dilakukan pada 18 Mac lalu bertempat di Bilik Mesyuarat Majlis Daerah Bau.

ADUN Tasik Biru, Dato Henry Harry Jinep kemudiannya melakukan simbolik penyerahan LA kepada kontraktor dilantik dan penyerahan tapak 29 projek akan bermula pada Isnin depan. -EDISI UKAS

Share

add comment