Kerajaan Sarawak Galak Rakyat Ceburi Bidang Keusahawanan

RABU, 24 MAC 2021

KUCHING: Kerajaan Sarawak sentiasa menggalakkan lebih ramai rakyat di negeri ini untuk menceburi bidang keusahawanan.

Menteri Muda Pembangunan Usahawan, Perusahaan Kecil Dan Sederhana Sarawak, Datuk Mohd Naroden Majais berkata, bidang keusahawanan memiliki potensi yang luas untuk ditingkatkan.

Menurutnya, ia sekaligus menjana pendapatan lumayan kepada golongan usahawan yang berjaya menerokai pasaran tempatan dan antarabangsa.

“Kerajaan negeri sentiasa menggalakkan rakyat khususnya golongan belia untuk berkecimpung dalam bidang keusahawanan dan menyediakan pelbagai kemudahan dan insentif,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan salah sebuah syarikat tempatan iaitu Gigit Rangup Sdn Bhd di Metrocity, pada Rabu.

Dalam majlis itu, beliau menyatakan kebanggaannya kepada syarikat terbabit kerana telah berjaya mengusahakan perniagaan berdasarkan digital ekonomi selaras dengan hasrat kerajaan negeri.

“Ini adalah salah satu daripada cara keusahawanan yang digalakkan oleh kerajaan negeri supaya usahawan muda menceburi bidang perniagaan secara digital dan e-commerce,” katanya.

Sementara itu, beliau turut menggalakkan usahawan muda di Sarawak untuk mengikuti jejak langkah Syarikat Gigit Rangup sebagai contoh untuk menjadi usahawan berjaya.

Dimaklumkan syarikat tersebut telah berjaya membantu ejen atau stokis di bawahnya yang kebanyakkan terdiri daripada suri rumah sepenuh masa. –EDISI UKAS

Share

add comment