Kerajaan Sarawak Sumbang 25 Tangki Air Di Kampung Nyelitak

RABU, 24 MAC 2021

BALAI RINGIN: Sebanyak 25 tangki air sumbangan kerajaan negeri diserahkan kepada para penduduk Kampung Nyelitak di sini.

Menteri Muda Belia dan Sukan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balai Ringin, Datuk Snowdan Lawan telah melakukan simbolik penyerahan tangki air tersebut di Depo Balai Ringin pada Rabu.

Jelasnya, penyerahan itu dilakukan di Depo Balai Ringin di mana ketua kampung yang terlibat sahaja dipanggil bagi mengambil tangki air tersebut.

“Program ini tidak melibatkan ketua kampung lain atau jawatankuasa yang lain kerana bagi mengelakkan kesesakan dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan,” katanya.

Tambah beliau, kampung tersebut adalah satu daripada kampung di kawasan DUN Balai Ringin yang sering menghadapi masalah bekalan air.

“Pada masa ini penduduk Kampung Nyelitak hanya bergantung pada saluran air paip graviti dan mereka sering mengalami masalah bekalan air.

“Justeru, saya berharap menerusi sumbangan tangki air itu, ia dapat memudahkan penduduk kampung menakungkan bekalan air sekaligus meringankan lagi beban penduduk di kawasan tersebut,” katanya lagi. -EDISI UKAS

Share

add comment