Manifestasi Kerajaan Sarawak Untuk Tingkatkan Taraf Ekonomi Dan Negeri Maju Menjelang Tahun 2030

RABU, 24 MAC 2021

LIMBANG: Kerajaan Sarawak berusaha untuk meningkatkan taraf ekonomi dan pembangunan negeri dalam mencapai negeri maju 2030. 

Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, untuk itu hubungan rapat di antara Kerajaan Sarawak dan rakyat penting bagi membolehkan setiap projek pembangunan dan infrastruktur dapat diadakan untuk keperluan rakyat. 

“Sekarang kita berada di Dewan Kampung Tegarai yang kini dalam fasa terakhir untuk kerja-kerja penyiapannya yang mana hanya tinggal penyambungan bekalan elektrik yang kita jangkakan akan dilaksanakan dalam tempoh sebulan ini dan projek ini siap mengikut jadual. 

“Pada tahun ini kita telah memperuntukan RM50,000 untuk menyimen sekitar kawasan dewan ini,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa ditemui selepas mengadakan lawatan ke tapak Projek RTP Kampung Tegarai pada Isnin. 

Selain Dewan Kampung Tegarai, Datuk Dr Abdul Rahman turut  melawat sebuah jambatan yang dibuat oleh syarikat pembalakan Syarikat Lee Ling Timber bagi mengantikan jambatan lama yang sebelum ini menjadi penghalang kepada aliran air di Sungai Tegarai menyebabkan banjir kilat lambat surut.

Dalam perkembangan sama, beliau juga meninjau jalan menuju ke Jeti Kampung Tegarai yang terletak tidak jauh dari Sekolah Kebangsaan (SK) Kubong dan menerima permohonan daripada Ketua Kampung Tegarai untuk menaik taraf jeti tersebut untuk kemudahan penduduk kampung menurunkan perahu dan memancing di tebing sungai.

Terdahulu, Datuk Dr Abdul Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota telah meninjau Projek RTP Bina Baru Dewan Fasa 1 yang telah siap yang dilaksanakan di bawah projek RTP pada tahun 2020.

“Pada tahun ini 2021, kita akan menyiapkan fasa kedua iaitu mendinding dan membuat pentas bagi Dewan Kampung Berawan. 

“Di Kampung Berawan juga pada tahun ini ada menerima projek jalan simen ke rumah-rumah dengan kos RM300,000 dan juga jalan ke kubur dengan kos RM500,000,” ujarnya. 

Hadir sama wakil Residen Bahagian Limbang Elizabeth Bujang, Jurutera Bahagian Jabatan Pengairan dan Saliran Bahagian Limbang Anisah Ahmad, Penolong Jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Limbang Mahathir Jokeni, Ketua Kampung Tegarai Wahap Moktar dan Ketua Kampung Berawan Kalong @ Bakar Tembol. -EDISI UKAS

Share

add comment