Pembinaan Jalan Pesisir Perlu Bagi Pacu Pembangunan Di Sarawak

RABU, 24 MAC 2021

SEBUYAU: Pembinaan jalan pesisir pantai di negeri ini perlu dilaksanakan dalam usaha kerajaan memacu perhubungan dan taraf hidup rakyat di sekitar kawasan berkenaan.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Datuk Amar (Dr) James Jemut Masing berkata, pembinaan jalan pesisir adalah pemangkin kepada transformasi pembangunan sosio-ekonomi secara keseluruhannya.

“Maka itu, kita perlu membina lebih banyak jalan di kawasan pesisir. Lebih banyak jalan, bermaksud lebih banyak jambatan perlu dibina kerana perlu merentasi sungai yang luas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Jambatan Batang Lupar, Sebuyau pada Selasa.

Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.

Sementara itu, beliau yang Menteri Infrastruktur Dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak menjelaskan, terdapat 11 buah jambatan besar yang perlu dibina bagi menghubungkan sepanjang laluan jalan pesisir.

“Kesemua jambatan tersebut mesti dibina supaya penduduk Sarawak tidak terpinggir,” ujarnya lagi.-EDISI UKAS

Share

add comment