Penduduk Di Kapit Tidak Perlu Takut Terima Vaksin COVID-19

RABU, 24 MAC 2021

KAPIT: Rakyat negeri ini khususnya penduduk rumah panjang tidak perlu was-was untuk menerima vaksin COVID-19 yang umum telah diketahui selamat dan tidak mendatangkan kesan sampingan.

Malah bagi petugas barisan hadapan dan mereka yang telah menerima vaksin bagi dos kedua di bahagian Kapit pada Isnin, turut menyeru orang ramai agar tidak mudah terpengaruh dengan fitnah yang tidak betul berkenaan pengambilan vaksin.

Bagi Timbalan Residen Bahagian Kapit, Galong Luang, beliau berharap orang ramai yang belum mendaftar menerima vaksin COVID-19 agar berbuat demikian demi kepentingan bersama.

“Saya berharap orang ramai tidak was-was untuk mendaftar mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 demi keselamatan diri dan orang lain.

“Ini juga adalah peluang untuk kita semua bersama-sama memutuskan penularan wabak COVID-19,” katanya ketika ditemui selepas menerima suntikan tersebut.

Sementara itu, Pegawai Daerah Kapit, Cerisologo Sabut menambah setelah mendapat vaksin tersebut beliau berasa lebih yakin namun terus mematuhi SOP dan berharap orang ramai turut memberi kerjasama.

“Selepas mendapatkan suntikan untuk dos pertama dan kini yang kedua tiada kesan sampingan yang berlaku.

“Malah saya lebih yakin untuk meneruskan aktiviti harian namun masih mematuhi SOP yang telah ditetapkan.

“Saya berharap penduduk di Kapit khususnya memberi kerjasama kepada program vaksinasi COVID-19 ini,” ujarnya. -EDISI UKAS

Share

add comment