Permohonan Mesin ATM Di Kabong Dalam Peringkat Rundingan

RABU, 24 MAC 2021

KABONG: Satu perjumpaan telah diadakan antara Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Mohd Chee Kadir dan Bank Kerjasama Rakyat Cawangan Sarikei pada Rabu untuk membincangkan lokasi penempatan Mesin Teler Automatik (ATM) di Kabong.

Perjumpaan diadakan di Pusat Khidmat PBB Kabong itu turut dihadiri Pengurus Bank Kerjasama Rakyat Sarikei Faishal Salleh, Pegawai Daerah Kabong Rashdan Hazemi dan Pegawai Menguasa Daerah Kecil Roban Micheal Meling.

Dalam perjumpaan itu, Mohd Chee mencadangkan dua lokasi untuk ditempatkan mesin berkenaan iaitu di Kabong dan juga di daerah kecil Roban.

Ketiadaan kemudahan bank mahupun mesin ATM di Kabong dan Roban yang menimbulkan keresahan penduduk mendapat perhatian serius Mohd Chee.

Ini kerana keadaan memberi kesan dan bebanan kepada penduduk setempat untuk mendapatkan wang tunai di kawasan yang agak jauh seperti di Saratok, Betong atau Sarikei.

Hal ini semakin menyukarkan lebih-lebih lagi semasa penularan wabak COVID-19 yang menghadkan pergerakan ke luar daerah.

Selain itu, perkembangan ekonomi yang semakin rancak di Kabong dan Roban juga faktor utama pentingnya penyediaan mesin ATM di kawasan tersebut.

Dalam program berasingan, Mohd Chee telah mempengerusikan Randau Bersama Ketua Masyarakat (Rumah Panjang) dan menyerahkan Geran MRP beliau bertempat di Pusat Khidmat ADUN Kabong.

Terdahulu, beliau memulakan Randau dengan memohon maaf kepada ahli Randau kerana tidak dapat ziarah ke rumah-rumah panjang dalam tempoh COVID-19.

Beliau juga mengingatkan kepada semua tuai rumah yang hadir untuk sentiasa menjalankan tugas sebagai ketua masyarakat untuk penduduk seliaan masing-masing.

Selain itu, beliau turut menyarankan kepada semua KMKK di seluruh Kabong untuk menyeru individu berusia 18 tahun ke atas membuat pendaftaran imunisasi COVID-19 mengambil kira peratusan pendaftaran untuk pogram itu masih rendah di daerah itu.

Sebanyak 34 buah rumah panjang telah dijemput untuk menerima geran MRP tersebut.

Penyerahan geran ini dilakukan secara berperingkat kerana akur dengan SOP ditetapkan. – EDISI UKAS

Share

add comment